IPOH : Karnival Usahawan Orang Asli 2022 (KUOA2022) kini kembali semula setelah dua tahun tidak dianjurkan akibat penularan wabak Covid-19.

Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) mengambil inisiatif menganjurkan KUOA2022 yang berlangsung selama tiga hari bermula pada 24 hingga 26 Jun 2022 bertempat di Bulatan Sultan Azlan Syah Amanjaya Meru, Ipoh.

Objektif utama karnival ini adalah untuk menyediakan platform bertaraf kebangsaan kepada usahawan Orang Asli melalui penganjuran program berbentuk promosi dan jualan terus bagi produk usahawan Orang Asli kepada masyarakat tempatan dan pelancong luar.

Pakej-pakej pelancongan juga menarik perhatian seperti produk pelancongan baharu, AKEKCHEP, Kampung Orang Asli Sungai Tiang, Taman Negeri Royal Belum dan Taman Eco Rimba Lata Kinjang, Tapah.

KUOA2022 mampu meningkatkan penjanaan ekonomi usahawan Orang Asli dengan membuka lebih banyak ruang dan peluang yang akan memberi impak kepada pendapatan.

Orang ramai dijemput untuk memeriahkan karnival ini yang bermula hari ini pada jam 10 pagi 24 Jun 2022.

Maklumat lanjut, sila layari Facebook KUOA 2022 di https://www.facebook.com/KUOA2022/ atau Facebook JAKOA di https://www.facebook.com/jakoamalaysia.