IPOH: Ipoh menjadi bandar pertama di wilayah utara yang mempunyai capaian akses 5G berkelajuan 1GB per saat hasil usaha pasukan 5G Greater Ipoh.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Multimedia negeri, Khairul Shahril Mohamed berkata, pencapaian itu merupakan hasil usaha pasukan berkenaan yang diketuai oleh Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.

Di samping Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Perak serta Telekom Malaysia (TM).

"Sehingga akhir Oktober ini sebanyak 98 lagi tapak rangkaian 5G akan dipancarkan di Wilayah Greater Ipoh.

"Ia merangkumi Majlis Perbandaran Kuala Kangsar, Majlis Perbandaran Kampar dan Majlis Daerah Batu Gajah, dijangkakan capaian rangkaian internet pantas 5G ini akan meliputi seluruh Perak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Ipoh Integrated Operation Centre (IIOC) & 5G di Pusat Tranformasi Bandar (UTC) Perak, di sini pada Selasa.

Hadir sama, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin dan Naib Presiden Jualan mewakili TM One, Mohamed Faisal Naina Mohamed.

Dalam pada itu, beliau menambah MBI dan TM telah menggerakkan kerjasama dan menggembleng tenaga bagi melaksanakan salah satu projek yang terkandung di dalam Blueprint Ipoh Smart City iaitu Ipoh Integrated Operation Centre (IIOC).

Ujarnya lagi khidmat nasihat dan kerjasama ini telah bermula sejak awal pelancaran Pelan Tindakan Bandar Pintar pada Mac tahun lalu.

"Projek Command Centre ini merupakan nadi kepada Pelan Tindakan Bandar Pintar Ipoh.

"Ia bakal menjadi sebuah pusat kawalan pintar yang mempunyai keupayaan memproses Big Data dengan menggunakan perisian Artificial Inteligence (AI) , Internet of Thing (IoT).

"Sekali gus akan melicinkan urus tadbir pembandaran MBI kepada urus tadbir yang bercirikan teknologi tinggi, sensor dan peranti," katanya.

Katanya, sebuah pusat kawalan yang canggih tanpa capaian internet yang baik merupakan satu kekurangan.

Bagaimanapun jelasnya, MBI dan TM melalui Digital Nasional Berhad terlebih dahulu telah bekerjasama bagi mengatasi permasalahan tersebut.