IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mengalu-alukan kehadiran para pemilik pegangan yang mempunyai masalah dalam pembayaran tunggakan cukai taksiran untuk hadir ke MBI.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata pihaknya sedia membuka ruang perbincangan dalam bentuk rundingan.

Di samping sentiasa terbuka dengan menawarkan bayaran secara ansuran mengikut kemampuan pemilik pegangan.

"Pihak Majlis akan menghantar Bil Cukai Taksiran bagi Penggal Kedua tahun 2022 kepada pemilik-pemilik pegangan pada akhir bulan Jun 2022.

"Bagaimanapun, sekiranya masih terdapat pemilik-pemilik pegangan yang masih tidak menerima Bil Cukai Taksiran selepas tempoh tersebut, mereka boleh mendapatkan bil tersebut di alamat www.mbi.gov.my untuk mencetak Bil Cukai Taksiran," katanya ketika berucap pada Mesyuarat Penuh MBI bulan Jun di sini pada Khamis.

Beliau berkata tarikh akhir bayaran Bil Cukai Taksiran bagi Penggal Kedua tahun 2022 akan berakhir pada 31 Ogos ini.

Rumaizi turut berharap warga kota Ipoh lebih serius dalam menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pembayar cukai demi kepentingan dan kesejahteraan bersama.

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata kaunter bayaran MBI menerima penbayaran secara e-wallet iaitu daripada Boost, TouchNGo, GrabPay, AliPay dan juga WeChat Pay mulai 1 Jun.

"Pembayaran melalui e-wallet ini mendapat permintaan ramai daripada pengguna dan memenuhi keperluan semasa warga kota.

Ujarnya lagi MBI akan membuat penambahbaikan dari masa ke semasa dengan menambah saluran pembayaran bagi kemudahan warga kota.