Ipoh: Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi, berkata Kerajaan Negeri isu perubahan pengurusan kawasan ekopelancongan Tasik Cermin, Simpang Pulai adalah bidang kuasa Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri itu, syarikat konsesi yang dilantik bagi menguruskan Tasik Cermin sebelum ini  diistiharkan 'bankrup' dan tidak boleh menjalankan sebarang urusan perniagaan.

"Tindakan menarik semula kontrak pengurusan terhadap syarikat konsesi tersebut adalah bertepatan kerana syarikat tersebut sudah gulung tikar.

"Isu ini tidak ada kena mengena dengan MBI yang dikatakan mengambil tindakan terburu-buru untuk menamatkan kontrak. Tindakan yang diambil kerana ia telah melanggar peraturan dan perjanjian yang telah ditetapkan.

"Pilihan MBI untuk memilih konsesi baharu adalah melalui proses perbincangan dan dibawa ke mesyuarat penuh peringkat MBI bagi memutuskan cadangan yang terbaik," katanya kepada Peraktastic baru-baru ini.

Nolee Ashilin menambah, syarikat konsensi berkenaan seharusnya memahami bahawa penamatan kontrak bukan kerana hendak ditamatkan tetapi sememangnya tidak lagi boleh disambung kerana telah melanggar syarat-syarat.

Malah katanya, masa pemberian tender tiada timbul sebarang masalah, namun setelah mengetahui syarikat itu sudah 'gulung tikar' secara langsung itu ia sudah tidak boleh menjalankan sebarang urusan perniagaan.

"Pengurusan Tasik Cermin sekarang adalah dibawah MBI. Setakat ini tiada laporan yang dikeluarkan berhubungan perlantikan syarikat konsesi baharu", katanya.