MBI, UiTM cawangan Perak meterai MoC, kongsi idea dan kepakaran
- Details
- Saloma
- Komuniti
- Hits: 834
IPOH: Memorandum Kolaborasi (MoC) yang dimeterai antara Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Perak, kampus Seri Iskandar hari ini dilihat mampu memberi banyak manfaat secara menyeluruh.
Tentu sekali manfaat itu meliputi kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi, penyelidikan dan komuniti setempat di bandar raya ini.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, antara fokus dalam memorandum ini adalah mengadakan program bersama untuk latihan, seminar, bengkel dan persidangan.
Ia termasuk kursus jangka pendek mengenai ilmu, teknologi dan kemahiran terkini dalam bidang senibina landskap.
"Aktiviti ini akan menghimpunkan barisan penceramah daripada kedua-dua institusi dan membincangkan cabaran atau peluang dalam bidang senibina landskap.
"Memorandum ini juga mengetengahkan mobiliti inbound dan outbound pelajar dan staf UiTM Cawangan Perak dari sudut penerimaan pelajar untuk tujuan latihan industri di MBI.
"Di samping menerima calon pengajian jarak jauh (PJJ) dari MBI untuk melanjutkan pelajaran di UiTM Cawangan Perak," katanya.
Rumaizi berkata demikian pada sidang media selepas majlis menandatangani MoC antara MBI dan UiTM Seri Iskandar di Dewan Azlan Shah, bangunan MBI di sini pada Isnin.
Hadir sama, Rektor UiTM Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar, Prof. Ts. Sr. Dr. Md Yusof Hamid, Ketua WHIP Ahli Majlis MBI, Abu Bakar Hussian serta Ketua Jabatan Pengajian Alam Bina dan Teknologi, Professor Madya Norhafizah Abdul Rahman.
Tambah Rumaizi, dengan kerjasama ini nanti, manfaatnya turut melimpah kepada pembangunan bandar raya Ipoh.
"Kita dapat manfaat daripada kerja-kerja yang dilaksanakan oleh pelajar UiTM Perak, di samping galakkan aktiviti seni di bandar Ipoh," katanya.
Sementara itu, Md Yusof berkata memorandum itu akan berkuat kuasa selama dua tahun bermula 25 Julai.
"Menerusi kerjasama ini, UiTM akan berkongsi dan memberi kepakaran kepada MBI.
"Dalam masa sama para pelajar akan terima manfaat kerana mereka akan terlibat di lapangan bagi membantu MBI, selain menjalani sesi pembelajaran dengan lebih efektif.
"Sebelum ini kita sudah ada kolaborasi dengan beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) lain seperti Majlis Daerah Perak Tengah dan Majlis Daerah Kampar,"katanya.