IPOH: Tindakan lebih tegas akan diambil kepada mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab membuang sampah haram di bandar raya ini, kata Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.

Tegas Rumaizi, perincian berhubung hukuman kepada pelaku akan dinyatakan selewat-lewatnya minggu depan, memandangkan ia sedang diperhalusi sebelum dilaksanakan.

"Nanti kita (MBI) akan keluarkan kenyataan... mungkin minggu depan. Tapi kita memang pasti akan ambil tindakan lebih tegas berhubung isu ini (sampah haram).

"Kita akan ambil tindakan tapi tunggu minggu depan, kita akan buat kenyataan. Perkara ini serius, bukan boleh dipandang sebagai isu kecil," katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Pelepasan 2 Unit Lori Rigid- Sampah (Compactor) di pekarangan bangunan MBI pada Jumaat.

Terdahulu, ketika mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBI bulan Julai hari ini, rata-rata Ahli Majlis yang terbabit membangkitkan isu sampah haram, termasuk anjing liar serta banjir kilat di Ipoh.

Ada di antara Ahli Majlis mahu pelaku kepada isu sampah haram dikenakan tindakan lebih tegas bagi membanteras masalah itu daripada berulang, meskipun sampah itu sudah dikutip.

Antara pendekatan yang disuarakan ialah mengenakan kompaun yang lebih tinggi kepada pihak yang tidak bertanggungjawab membuang sampah haram, sekali gus mampu menyelesaikan isu tersebut secara tuntas.

Cadangan itu kemudiannya disokong oleh Ahli Majlis, yang berpendapat dengan cara itu sahaja pihak terbabit akan lebih berhati-hati dan tidak mengulangi perbuatan tersebut.

Ends//