IPOH - Dua mangsa dengan seorang daripadanya dilaporkan meninggal dunia setelah pesawat ringan yang dipandu terhempas di Jalan Dr Nazrin Shah berhampiran Medan Gopeng di sini.

Polis mengesahkan identiti mangsa yang meninggal dunia adalah jurulatih penerbangan, Fajim Juffa Mohd Mustafa Kamal, 52.

Kejadian dipercayai berlaku sekitar pukul 8 malam manakala pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Perak menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.10 malam.

Insiden nahas tersebut juga menyebabkan berlakunya kesesakan di lokasi kejadian.

Kedua-dua mangsa dikatakan tersepit sebelum kerja-kerja menyelamat dilakukan pihak bomba.

JBPM negeri Perak dalam kenyataan memaklumkan, operasi menyelamat dilakukan sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh yang dikerah ke lokasi kejadian.

Mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan manakala mangsa yang maut juga dibawa ke hospital sama untuk tindakan selanjutnya.

Pesawat malang berkenaan didaftarkan milik sebuah pusat latihan penerbangan iaitu BAT Aviation yang terletak berdekatan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah.

Syarikat penerbangan ini beribu pejabat di Desa Seri Hartamas, Kuala Lumpur.