IPOH: Kerajaan negeri Perak menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga legenda badminton negara, Datuk Ng Boon Bee yang meninggal dunia pada usia 84 tahun semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Khairul Shahril Mohamed berkata pemergian legenda badminton itu dirasai oleh seluruh rakyat Malaysia, khususnya Perak.

"Saya rasa ini satu kehilangan yang cukup besar kepada semua. Mendiang merupakan salah seorang legenda sukan negara yang lahir di negeri ini.

"Bukan sekadar menyumbang jasa pada pembangunan badminton tetapi juga bola sepak dan merupakan pemangkin sukan-sukan lain di negeri ini.

"Kita memang rasa sedih dengan pemergiannya dan kita akan lihat apa yang sesuai untuk kita beri komitmen kepada keluarganya,"katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Pertubuhan Usahawan Teknologi Inovasi dan Kreativiti Kinta (PUTIK), Program Sil dan Aplikasi Stopover di sini pada Khamis.

Semalam media melaporkan, bekas pemain badminton beregu terbaik negara, Datuk Ng Boon Bee, meninggal dunia akibat aneurisme pada Rabu.

Boon Bee yang merupakan anak kelahiran Ipoh itu meninggal di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HPRB) pada jam 4 petang.

Beliau meninggalkan balu, Tong Yee Cheng, 85, yang juga bekas pemain badminton dan anak perempuan, Gillian.

Ng mewakili era emas badminton pada sekitar 60an dan 70an dan menyinar dalam acara lelaki dan beregu campuran antara 1960 dan 1973.

Beliau memenangi 17 pingat emas dalam pelbagai kejohanan utama.