Inisiatif MBI sediakan surau bergerak di pasar malam Taman Bersatu
- Details
- Sheqal Danish
- Komuniti
- Hits: 990
IPOH - Peniaga tetap berniaga tetapi solat tetap terjaga.
Demi memberi keselesaan dan memudahkan peniaga serta pengunjung untuk beribadah, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah menempatkan Surau Bergerak MBI di tapak pasar malam Taman Bersatu bermula semalam.
Pasar malam antara terbesar di Ipoh ini mempunyai kira-kira 200 peniaga dengan pengunjung lebih 3,000 orang.
Inisiatif itu merupakan satu lagi tanggungjawab yang dimainkan MBI sebagai pihak berkuasa tempatan yang prihatin dan pada masa sama menjayakan aktiviti perniagaan dalam suasana kondusif.
Ahli Majlis MBI Kaunselor Tuan Haji Abu Bakar Hussian, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam MBI berkata, ini merupakan pasar malam pertama yang dipilih untuk disediakan kemudahan tersebut.
Menurut beliau, kemudahan serba lengkap itu juga memberi keselesaan kepada pengguna termasuk wanita.
"Pasar malam ini merupakan tempat yang strategik. Mungkin peniaga atau pelanggan tidak sempat untuk solat ke surau atau masjid, jadi dengan ada surau bergerak ini iq sebagai satu tempat alternatif.
"Falsafah kita ialah solat tetap terjaga walaupun dalam kesibukan berniaga. Hasrat kita juga membantu rakyat, para peniaga dan pengunjung untuk mudah menyempurnakan solat.
"Surau bergerak ini akan ada di sini bemula pukul 5.30 petang hingga 10 malam," ujarnya ketika ditemui Peraktastic.
Terdahulu, beliau hadir pada Majlis Pelancaran Surau Bergerak MBI di Tapak Pasar Malam Taman Bersatu dengan kerjasama Jawatankuasa Perwakilan Penduduk JPP Zon 24.
Turut hadir Ahli Majlis MBI Zon 24, Azmi Murad Mohamad Yusof.
Jelas Abu Bakar lagi, inisiatif MBI ini akan diteruskan ke lokasi-lokasi lain yang dirasakan sesuai dan perlu.
"Awalnya surau bergerak MBI ini ditempatkan di Bazar Ramadan Stadium Indera Mulia Ipoh dan sejak dua bulan lepas di Gerbang Malam pada Jumaat, Sabtu dan Ahad.
"Jadi Ini merupakan langkah kedua apabila kita mencari pasar malam.
"Kita juga akan meneroka lokasi-lokasi lain yang bersesuaian seperti Tambun, Chemor dan sebagainya," ujar beliau.
Beberapa peniaga dan pengunjung yang ditemui melahirkan ucapan terima kasih atas usaha MBI menyediakan kemudahan berkenaan.
Seorang pelanggan, Mohd Khairuddin Abdul Rahman, 40, memuji langkah tersebut kerana memudahkan pelanggan selain dapat berbelanja dengan tenang.
"Kita pulang dari tempat kerja ada yang belum sempat solat, jadi apabila ada surau bergerak kita boleh tunaikan solat dulu sebelum membeli barangan keperluan," ujarnya.
Sementara itu seorang peniaga yang mahu dikenali sebagai Kak Aini berkata, sebelum ini dia bersolat di sebalik van.
"Alhamdulillah, memang kita bersyukur ada surau bergerak. Walaupun boleh solat di mana-mana tapi bila ada surau, tempat wuduk maka ia lebih selesalah," katanya.
Surau Bergerak MBI dilancarkan pada Mac lalu sempena sambutan Israk Mikraj dan Ambang Ramadan peringkat MBI oleh Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.
Rekaan surau bergerak MBI itu adalah hasil idea dan reka bentuk MBI bersama syarikat yang dilantik untuk menyiapkannya dengan kos kira-kira RM100,000.
Ia juga merupakan sebuah surau bergerak yang pertama oleh pihak berkuasa tempatan di Perak.