Motivasi Pagi, Slot Agama: Bangkitkan Nostalgia Ustaz Kazim - Siri motivasi riadah kerohanian paling popular di Radio TV MBI
- Details
- Rosli Mansor Hj. Ahmad Razali
- Komuniti
- Hits: 852
IPOH- 'Bagai Sirih Pulang Ke Gagang’, begitulah perumpamaannya apabila Pendakwah dan Penceramah Bebas, Dato’ Mohd Kazim Elias berpeluang mewarnai segmen motivasi pagi, slot agama menerusi Radio TV Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) hampir dua tahun.
Ustaz Kazim Elias berkata kenangannya bersama MBI telah terukir sejak puluhan tahun dahulu di mana beliau ditugaskan mengajar kelas agama di sekitar pertengahan tahun 90-an hingga tahun 2000.
“Kenangan saya mengajar sewaktu itu bersama ratusan pelajar warga MBI masih segar diingatan dan tidak mungkin dapat saya lupakan.
“Sehinggalah apabila wujudnya Radio TV MBI yang selaras dengan perkembangan teknologi terkini memberi peluang kepada saya untuk kembali berkongsi ilmu keagamaan menerusi segmen motivasi pagi.
“Program dua bulan sekali, sememangnya mengimbau kenangan saya bersama MBI ditambahi pula saya anak kelahiran negeri Perak. Program ini pada mulanya dilangsungkan di konti radio MBI tetapi sekarang dilangsungkan di dewan dan dihadiri warga MBI dari pelbagai jabatan.
“Selain dapat berkongsi pengetahuan menerusi ceramah dan pelbagai isu semasa berkaitan keagamaan ia juga dapat mengeratkan lagi ukhuwah di antara kita semua khususnya warga bandaraya Ipoh,” katanya kepada Peraktastic sewaktu ditemubual selepas program motivasi pagi, di bangunan MBI baru-baru ini.
Penolong Pegawai Tadbir Perpustakaan Tun Razak, Rohayu Mohd Tahir yang telah mengikuti dua kali siri ceramah motivasi pagi ini, turut merasa terkesan dengan topik perbahasan mengenai ‘Erti Sebenar Hijrah’.
“Siri motivasi pagi ini sememangnya memberi banyak manfaat kepada semua. Topik yang diperbahaskan sentiasa mengikut perkembangan semasa seperti pengertian sebenar Maal Hijrah dari kaca mata Islam.
“Apa yang istimewanya, ceramah Ustaz Kazim bukan sahaja tertumpu pada pendengar beragama Islam, malah ianya melangkaui bangsa lain yang menyeru kepada nilai-nilai murni untuk dijadikan panduan dalam kehidupan seharian,” katanya.
Ketua Penolong Pengarah Koprat Bandaraya Bahagian Penerbitan dan Kualiti, Jabatan Perancang Bandar Koprat, Faridah Abdul Aziz juga merupakan pengikut setia program tersebut sebanyak tiga siri.
“Program ini harus diteruskan sampai bila-bila kerana ia mengupas pelbagai isu semasa. Dalam era teknologi ini, adakalanya media sosial membawa kita kepada kelekaan sekiranya tidak pandai memilih yang baik.
“Ceramah yang diterajui oleh penceramah tersohor serta berpengetahuan luas ini, sudah pasti dapat membantu kita kembali kepada hakikat kehidupan yang sebenarnya disamping mencari keredhaan Allah.
“MBI telah berjaya menjayakan satu program berbentuk riadah kerohanian yang bermanfaat. Saya juga percaya pendengar-pendengar yang mengikuti secara langsung menerusi laman sosial facebook MBI juga mahukan program ini diteruskan dari masa kesemasa”, ujarnya. - PERAKTASTIC.