IPOH: Bengkel Doughnut Economic: Remaking the Future of Cities akan menjadi permulaan gerak kerja kepada agenda pelaksanaan projek rintis Ipoh sebagai Bandar Ekonomi Donat 2027.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata bengkel ekonomi donat yang berlangsung hari ini merupakan anjuran Institut Darul Ridzuan (IDR) dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Perak.

Pengasas Ekonomi Donat, Profesor Kate Raworth hadir bagi mengendalikan bengkel berkenaan.

Turut sama, pihak berkuasa tempatan (PBT) antaranya Majlis Daerah Batu Gajah, Majlis Daerah Kampar, Majlis Daerah Kuala Kangsar, Majlis Daerah Perak Tengah dan Ketua Jabatan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Rumaizi berharap penganjuran bengkel berkenaan akan mencapai matlamat menjadikan Ipoh sebagai Bandar Ekonomi Donat 2027.

Sebelum ini dalam Perak Sejahtera 2030 turut digariskan Program Flagship, Ipoh Bandar Ekonomi Donat 2027.

Menerusi pelan itu turut dinyatakan pengiktirafan Ipoh sebagai bandar ekonomi donat pertama di rantau Asia.

Ia meletakkan negeri Perak seiring dengan negara peneraju kelestarian alam sejagat dalam merancang dan melaksanakan pembangunan sosioekonomi.

Jaringan yang bakal terjalin menerusi pengiktirafan ini boleh dimanfaatkan untuk penjenamaan dan pemerkasaan negeri secara inklusif.

Untuk makluman, media melaporkan konsep ekonomi donat lambat-laun sudah mulai dilaksanakan dalam skala perbandaran.

Sebelum ini, Amsterdam mengumumkan menggunakan model itu untuk memperbaiki ekonomi pasca COVID-19 melalui perencanaan ekonomi di bandar berkenaan.

Model ini digunakan untuk mengubah cara menilai persaingan ekonomi sambil mempertimbangkan kesannya terhadap persekitaran perbandaran.

Selain itu, model ini berfungsi sebagai kerangka untuk pembangunan mampan dengan mengintegrasikan konsep sempadan persekitaran dengan konsep pelengkap kesejahteraan sosial serta ekonomi.