Ipoh: Selepas Wedding Of The Year di antara Jiwang dan Juwita pada April tahun lalu, kini Taman Tema Air Lost World Of Tambun (LWOT), meraikan Majlis Berendoi ‘Jaguh’, anak pertama pasangan badak air tersebut.

Pengarah Eksekutif Sunway Theme Parks, Calvin Ho berkata ‘Jaguh’ yang dilahirkan pada 18 Jun 2022 lalu, bakal menjadi tarikan baharu LWOT terutamanya pada musim cuti sekolah yang akan datang.

“Jaguh adalah nama yang diberikan kepada anak badak air yang berusia dua bulan ini dan kami teruja untuk meraikan majlis berendoi seperti mana kesinambungan yang dilakukan dalam tradisi masyarakat Melayu.

“Pihak LWOT memberi peluang kepada orang ramai untuk menamakan anak badak air ini melalui undian di dalam laman media sosial kami.

“Kami menerima sejumlah 1,000 penyertaan di seluruh tanah air. Kami telah mengambil keputusan nama Jaguh adalah paling sesuai setelah diadili oleh pihak juri.

“Terima kasih kepada pihak Perhilitan yang sentiasa menyokong usaha kami dalam memastikan semua program berlangsung dengan lancar. Jaguh kini berada dalam keadaan selamat dan sihat juga dilihat aktif berinteraksi dengan renjer kami,” katanya dalam sidang media selepas acara perasmian majlis berendoi, di sini, hari ini.

Sementara itu Ketua Pengarah Perhilitan Malaysia, Dato’ Abdul Kadir Abu Hashim berkata keunikan LWOT yang dikelilingi dengan kehijauan alam semulajadi bukit batu kapur yang diiktirafkan sebagai salah satu kawasan geopark ini, berpontensi menjadi sebuah sebuah zoo yang setanding dengan zoo di Singapura.

“LWOT mempunyai keserasian habitan kehidupan haiwan-haiwan kerana ianya dikelilingi dengan kehijauan alam semula jadi disamping penjagaan yang rapi dan berterusan.

“Melihat kepada penjagaan yang rapi dari pihak pengurusan LWOT terhadap haiwan-haiwan yang ada, kemungkinan kita akan menambah lagi beberapa spisis haiwan pada masa hadapan,” ujarnya.

Tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia yang Ke-59 iaitu Keluarga Malaysia Teguh Bersama, LWOT mengalu-alukan semua keluarga di Malaysia untuk menyaksikan Jaguh dan ibunya Juwita sempena cuti sekolah bermula 3 September 2022.

Beberapa aktiviti lain yang akan dilangsungkan ialah persembahan khas pada Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, perarakan dan persembahan muhibbah pada setiap hari sehingga Hari Merdeka dan
muzikal "Tin Story".