MANJUNG - Seramai 137 perenang yang terdiri daripada anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), orang awam termasuk remaja dan kanak-kanak mengambil bahagian pada Program Lumut Merdeka Swim 2022.

Acara yang berlangsung selama dua hari pada Sabtu dan Ahad lepas turut menarik lebih 5,000 pengunjung termasuk pelancong ke Lumut yang juga merupakan Bandar Tentera Laut.

Cawangan Komunikasi Strategik, Markas Pendidikan dan Latihan TLDM dalam kenyataan memaklumkan, ia telah dilaksanakan dengan jayanya dan memeriahkan sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-65.

Menurut kenyataan itu, penganjuran program
ini telah dipimpin oleh Panglima Pendidikan dan Latihan, Laksamana Muda Dato’ Anuar Mohamed.

"Bermula 27 Ogos, aktiviti dimulakan dengan pelepasan para peserta renang dari Teluk Batik ke Pasir Bogak dengan jarak renangan sejauh 8 kilometer (km).

"Setiba di Pasir Bogak aktiviti pembersihan pantai dilaksanakan dan diteruskan dengan Malam Patriotisme," ujar kenyataan itu.

Sementara itu, aktiviti di Lumut Bandar Tentera Laut turut dilaksanakan antaranya Colors Guard Ceremony, penceriaan Lumut Bandar Tentera Laut, gerai makanan, promosi kerjaya dan diakhiri persembahan Simfoni Deru Laut Biru oleh Gelombang Biru.

Aktiviti renang diteruskan pada 28 Ogos bermula dari Pulau Mentagor dan berakhir di Jeti Marina Lumut, Perak sejauh 15km.

Selain itu, terdapat beberapa pameran, jualan cendera kenangan dan persembahan dilakukan oleh warga TLDM seperti pertunjukan Brassband, Tarian Tempur, Tempur Tanpa Senjata, Muzika Gelombang Biru, Persembahan Seni Budaya oleh BAKES TLDM dan Navy Chef’s Cuisines.

Program yang mengambil tema Hari Kemerdekaan iaitu Malaysia Teguh Bersama telah menterjemahkan aktiviti kolaborasi antara TLDM dan Majlis Pembandaran Manjung (MPM).

Ini bagi mempromosikan Lumut sebagai Bandar Tentera Laut dan Malaysia sebagai Negara Maritim kepada masyarakat dan orang awam.