IPOH: Sumbangan lima unit mesin hemodialisis daripada dua syarikat swasta untuk kegunaan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini disifatkan begitu bermakna dalam membantu para pesakit buah pinggang mendapatkan rawatan tersebut.

Tambahan pula difahamkan tambahan unit mesin itu juga dapat mengurangkan tempoh menunggu untuk pesakit yang berkenaan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Sains dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Akmal Kamarudin, kesemua mesin itu bernilai RM200,000 dan disumbangkan menerusi perantara MBI, di bawah program MBI Prihatin.

"Lima unit mesin hemodialisis ini adalah sumbangan pihak Syarikat Gergasi Properties Sdn. Bhd. dan Agro Tech Pro (M) Sdn. Bhd. melalui MBI kepada HRPB.

"Terima kasih juga kepada pihak MBI khususnya Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin kerana bertindak sebagai perantara melalui Program MBI Prihatin.

"Lebih banyak mesin disediakan maka lebih ramai pesakit yang akan mendapat rawatan pada satu-satu masa.

"Saya difahamkan peralatan ini telah diterima oleh pihak hospital pada 16 Ogos lalu dan telah digunakan," katanya selepas merasmikan Majlis Penyampaian Sumbangan Lima Mesin Hemodialisis Melalui MBI Kepada HRPB, di sini pada Isnin.

Hadir sama Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin dan Pengarah HRPB, Dr. Megat Iskandar Megat Abdul Hamid.

Mohd Akmal berharap kemudahan itu dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya serta mampu membantu menyelamatkan lebih banyak nyawa.

Beliau turut mengalu-alukan dan menyambut baik usaha mana-mana pihak untuk menyumbang menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

"Selain daripada membantu mendapatkan sumbangan seumpama ini, MBI juga bertindak bijak melalui hubungan dengan pihak luar seperti negara China.

"Sebelum ini pihak terbabit memberi sumbangan dua buah mesin ventilator yang didatangkan khas dari Nanning dan disumbangkan kepada HRPB bagi membantu pesakit COVID-19,"katanya lagi.

Sementara itu, Rumaizi berkata program MBI Prihatin itu akan diteruskan demi menjadikan Ipoh sebagai Bandaraya Bestari Sejahtera.

"Terima kasih diucapkan kepad para syarikat dan penyumbang yang sama-sama berganding bahu menyediakan kelengkapan ini untuk para pesakit.

"Semoga penyerahan lima unit mesin dialisis bagi kegunaan hospital ini akan membantu lebih banyak pesakit buah pinggang mendapatkan rawatan dialisis," katanya.