IPOH - Kurang dua jam sebelum detik 12 malam, bahang sambutan Hari Kemerdekaan semakin terasa apabila warga bandaraya Ipoh tidak melepaskan peluang menyertai Program Kayuhan Merdeka malam tadi.

Pekarangan jalan di Persiaran Bandaraya (hadapan Bangunan Majlis Bandaraya Ipoh -MBI) dibanjiri limpahan cahaya apabila lebih 700 peserta pelbagai latar belakang dan lapisan usia terlibat.

Seawal pukul 7.40 malam para peserta telah berkumpul bersama basikal masing-masing untuk menjayakan acara tersebut memandangkan setelah dua tahun tiada sebarang program dianjurkan kerana pandemik.

Turut sama menyertai kayuhan ialah Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komuniti dan Multimedia negeri, Khairul Shahril Mohamed bersama Datuk Bandar Ipoh Dato'Rumaizi Baharin@Md Daud,

Acara juga disertai pegawai-pegawai kanan MBI serta barisan Ahli Majlis MBI.

Terdapat dua kategori kayuhan iaitu Kategori VIP sejauh 5 kilometer (km) dan Kategori Terbuka (22.9km).

Terdahulu pelepasan disempurnakan oleh Khairul Shahril bagi penyertaan Kategori Terbuka diikuti Kategori VIP.

Program Kayuhan Merdeka ini adalah program yang dilaksanakan oleh MBI setiap tahun yang dirangka oleh pihak Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SUK) bagi sambutan Hari Kebangsaan peringkat Negeri Perak.

Objektif program adalah untuk menyatukan seberapa ramai yang mungkin rakyat negeri Perak yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama dalam satu program bagi bersama-sama memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan.

Sementara itu MBI dalam satu kenyataan memaklumkan, Program Kayuhan Merdeka ini kali terakhir diadakan di Ipoh ialah pada tahun 2018.

Kata kenyataan itu, Pada tahun seterusnya ia tidak dapat dilaksanakan berikutan pandemik COVID-19 yang melanda dunia.

"Istimewanya program kali ini, ia bersempena kemerdekaan negara yang ke-65. Tema program juga mengambil tema Hari Kebangsaan 2022 iaitu ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’.

"Tahun 2022 menyaksikan Program Kayuhan Merdeka ini kali pertama diadakan selepas era pandemik dan setelah negara beralih ke fasa endemik.

"Jadi, ini adalah sesuatu yang sangat istimewa dan mengujakan khususnya bagi seluruh rakyat Negeri Perak," ujar kenyataan tersebut.

Semoga program ini membantu melahirkan generasi Ipoh yang kekal sihat, aktif dan cergas.

Ia juga diharap dapat menyatukan seluruh warga kota yang terdiri daripada pelbagai latar belakang kaum, budaya dan agama sesuai dengan tema Hari Kebangsaan pada tahun ini.