KUALA KANGSAR - Seramai 300 peserta terdiri daripada masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Lubok Merbau serta luar daerah ini menyertai Kayuhan Perak Sejahtera @ Lubok Merbau minggu lalu.

Acara ini bersempena Program Menteri Besar Bersama Rakyat (MESRA) @ Sekuriti Makanan.

Kayuhan yang bermula di Dataran Badang, Kampung Labu Kubong itu diserikan dengan kehadiran Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia, Khairul Shahril Mohamed.

MB Inc Perak dalam perkongsian menerusi laman Facebook memaklumkan, program kayuhan ini turut diselitkan dengan serahan bantuan beg makanan YBU dan juga penanaman pokok kelapa di tiga lokasi.

Antaranya di Kampung Labu Kubong, Kampung Rambong, dan Kampung Lubok Merbau yang terletak di sepanjang lapan kilometer laluan kayuhan tersebut.

"Peserta kayuhan juga dibawa menelusuri laluan desa sambil menikmati keindahan sawah padi dan kawasan-kawasan kampung di sekitarnya sehingga berakhir di Dewan Milennium, Lubok Merbau.

"Objektif utama program yang dianjurkan oleh Pejabat Menteri Besar bersama MB Inc. itu untuk mengeratkan jalinan bersama komuniti.

"Selain itu, ini bagi menyebar luas agenda utama Perak Sejahtera 2030 khususnya kepada warga sekitar kawasan Lubok Merbau," jelas kenyataan itu.

Turut menyertai program kayuhan ialah ADUN Lubok Merbau, Dato’ Jurij Jalaluddin; ADUN Chenderoh, Dato’ Zainun Mat Noor; Ketua Pegawai Eksekutif MB (Perak), Anuar Zainal Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif PPPNP, Yahanis Yahya.

Program Kayuhan Perak Sejahtera bertambah meriah dengan acara cabutan bertuah.

Acara ini juga tidak akan berjaya tanpa kerjasama baik Pejabat Daerah Tanah Kuala Kangsar, Pejabat Penghulu, barisan belia serta pasukan keselamatan dan seluruh masyarakat Lubok Merbau.