IPOH - Nasib golongan memerlukan sentiasa menjadi perhatian Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) dalam membant meringankan bebanan yang ditanggung.

Ini supaya dapat menjalani kehidupan mereka dengan lebih baik.

Antaranya ialah seorang ibu tunggal mangsa kemalangan, Hanisah Mohamad, 34, yang kini hanya terlantar dan dijaga keluarganya di Kampung Dato'Seri Kamaruddin, Manjung.

Ekoran kemalangan itu Hanisah terpaksa menjalani pembedahan membuang beberapa bahagian pada tempurung kepalanya.

Bahagian Perhubungan Korporat MAIPk dalam satu kenyataan memberitahu, MAIPk Daerah Manjung telah pun menyantuni dan mendalami permasalahan yang dilalui Hanisah.

Menurut kenyataan itu, pada 7 Jun lalu, pihak MAIPk Daerah Manjung telah mengadakan Program Ziarah Asnaf.

"Ziarah tersebut diketuai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan), Wan Maizura Wan Zahari; Pegawai Baitulmal Daerah Manjung, Mohamad Razif Mokhtar bersama petugas MAIPk.

"MAIPk Daerah Manjung amat prihatin dengan nasib yang dihadapi Hanisah Mohamad," ujar kenyataan tersebut.

Beberapa bentuk bantuan telah pun disalurkan kepada beliau antaranya bantuan kewangan bulanan sebanyak RM400 dan bantuan sewa rumah (RM400).

Turut disalurkan ialah bantuan perubatan berupa pembekalan lampin pakai buang dan susu sepanjang tahun 2022 iaitu RM16,000 (RM1,330 sebulan).

Semoga urusan Hanisah dipermudahkan dan beliau cepat kembali sembuh.