BATU GAJAH - Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menjalinkan kerjasama dengan The Treasure @ Taman Herba bagi memperkasakan industri ekopelancongan di negeri Perak.

Ia juga antara inisiatif KTMB bagi mempromosikan pelancongan keretapi atau rail tourism.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Datuk Mohd. Rani Hisham Samsudin berkata, menerusi kerjasama itu, pihaknya turut dapat menarik pelancong dari Singapura dan Thailand mengunjungi tempat-tempat menarik di Semenanjung Malaysia.

"KTMB merupakan pilihan pengangkutan awam utama di Semenanjung yang mana antara stesennya iaitu Stesen Batu Gajah berdekatan dengan The Treasure @ Taman Herba.

"Antara produk ekopelancongan yang menjadi tarikan seperti kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV), berkayak, berbasikal, petting zoo, laman akuaponik dan banyak lagi.

"Ia dijangka dapat menarik lebih ramai pelancong untuk berkunjung kei Perak," katanya kepada pemberita selepas majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di sini.

MoU itu ditandatangani antara KTMB yang diwakili Mohd. Rani dengan Pengarah Urusan The Treasure @ Taman Herba, Eidia Erriany Abdul Rahim.

Hadir menyaksikan majlis tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri Perak, Dato’ Nolee Ashilin Mohammed Radzi.

MoU ini termasuklah cadangan kerjasama melalui pakej-pakej rail tourism untuk mempromosikan Stesen Batu Gajah sebagai transit ke The Treasure @ Taman Herba dan lokasi menarik di sekitarnya.

Ini termasuk aktiviti sukan lasak Gopeng, Kellie’s Castle serta Rumah Lat Dan Galeri.

The Treasure@Taman Herba adalah milik Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC Perak) telah melalui proses pembangunan dan baik pulih serta penjenamaan baharu sejak November 2021.

Ia di bawah pengurusan dan dana (Proven Optimisation Innovative Solutions (POIS) itu mengetengahkan tiga teras utama iaitu pendidikan, pembangunan komuniti dan pemeliharaan alam sekitar.

Kini ia bersedia menerima kunjungan pelancongan dari dalam dan luar negara.

Sementara itu, Nolee Ashilin berkata, melalui kerjasama itu juga lebih banyak lokasi-lokasi baharu di negeri Perak dapat diperkenalkan kepada pelancong dari dalam dan luar negara.

Ujar beliau, ini khususnya lokasi baharu seperti Silverlakes Village Outlet yang akan dibuka tidak lama lagi.