TELUK INTAN: Seorang lelaki warga emas mengalami sesak nafas dan terjatuh ketika cuba keluar menyelamatkan diri, susulan rumahnya yang terbakar di Lot 2174, Jalan 1/6R Kampung Belt, Chenderong Balai di sini hari ini.

Kejadian yang berlaku sekitar jam 1.30 tengah hari itu menyebabkan dapur rumah tersebut terbakar 20 peratus, manakala sebuah motosikal yang diparkir berdekatan turut musnah 80 peratus.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.34 tengah hari.

Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan dengan dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Langkap dan Teluk Intan kemudiannya bergegas ke lokasi.

"Setibanya jentera di lokasi mendapati kebakaran melibatkan bahagian dapur sebuah rumah kelas B yang dianggarkan berkeluasasn 60x10 kaki.

"Seorang lelaki warga emas berusia sekitar 70 tahun mengalami sesak nafas dan terjatuh ketika usaha menyelamatkan diri," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurut kenyataan itu lagi, anggota bomba melakukan kerja pemadaman menggunakan aliran hose 200 kaki dan satu aliran hose reel.

Mangsa berkenaan diberikan rawatan awal dan diserahkan kepada pihak hospital bagi rawatan susulan.

Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Sharifuddin Jubri itu tamat pada jam 2.34 petang.