IPOH - Idea penganjuran Kejohanan Sukan Integrasi Komuniti akan diperluaskan pada lain-lain Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri Perak pada masa hadapan.

Ini kerana ia dilihat berjaya sebagai platform menyatukan masyarakat pelbagai kelompok sepertimana yang dijelaskan dalam konteks Keluarga Malaysia.

Pengerusi Jawatan Kuasa Perumahan, Pelancongan dan Kerajaan Tempatan negeri Perak, Dato' Nolee Ashilin Mohammnad Radzi berkata, ia juga menterjemahkan kesepakatan dalam komuniti.

Walaupun mengakui kos untuk menganjurkan kejohanan seperti itu besar tetapi katanya, ia boleh dilaksanakan dalam pelbagai cara dan pendekatan.

"Karnival yang berkonsepkan sukan komuniti merupakan usaha tambahan bagi menyemai semangat berpasukan, bekerjasama dalam merapatkan hubungan sosial dalam kalangan masyarakat.

"Kita juga dapat melihat ia juga mengeratkan hubungan dmantara pemimpin dan rakyat berfokuskan kelompok komuniti di Bandaraya Ipoh.

"Dalam konteks ini ialah apabila Ahli Majlis bersama-sama komuniti masing-masing terlibat secara langsung dalam sebuah acara," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis penutup kejohanan tersebut di Stadium Ipoh petang tadi.

Kejohanan yang disertai lebih 1,000 peserta itu berlangsung selama tiga hari dan berjaya dikelolakan oleh MBI dengan jayanya.

Mengulas lanjut kata Nolee Ashilin, penganjuran kejohanan ini juga mendapat sokongan baik pelbagai pihak termasuk syarikat swasta menerusi tajaan yang diperolehi.

"Bila bercakap tentang kos, memang penganjuran sukan ini besar tetapi saya menerusinya juga kita mendapat tajaan yang baik," ujarnya.

Sementara itu, Ketua WHIP Ahli Majlis MBI,
Dato' Mazlan Abd Rahman berkata, sokongan komuniti menerusi penyertaan dalam kejohanan tersebut yang baik menunjukkan semangat kerjasama.

"Sambutan peserta untuk mewakili zon sangat baik. Bagi zon saya misalnya, kita telah mengadakan pemilihan dengan mengenal pasti pemain atau peserta untuk diketengahkan,

"Yang penting adalah bagaimana penglibatan kita bersama masyarakat," ujarnya yang juga Ahli Majlis Zon 1 (Hulu Kinta).