Ipoh- Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menerusi Jabatan Kesihatan Persekitaran, sentiasa memastikan tahap keselamatan dan kualiti makanan yang dijual kepada warga kota Ipoh adalah bersih dan selamat.

Datuk Bandar Ipoh, Dato’ Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata pemeriksaan premis makanan merupakan aktiviti utama bagi memastikan syarat-syarat pelesenan termasuk SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam fasa endemik dipatuhi oleh pengusaha.

Pemeriksaan dijalankan secara rutin dan berjadual bersama jabatan dalaman dan luaran. Sejak Januari sehingga 26 Ogos 2022, sebanyak 302 kompaun telah dikeluarkan dengan jumlah nilai RM56,550. Sebanyak 542 surat amaran dan 25 surat tunjuk sebab 25 turut dikeluarkan.

Sekiranya pengusaha premis tidak mematuhi syarat-syarat majlis, tindakan terakhir ialah pembatalan lesen bagi premis tersebut atas pelbagai kesalahan.

Sebanyak 3,550 premis makanan telah diperiksa dan digredkan dari bulan Januari sehingga Julai 2022. Hasil daripada pemeriksaan itu, terdapat 744 premis makanan dalam kategori A, 2821 premis dalam kategori B dan 25 premis dalam kategori C di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Ipoh”, katanya selepas Majlis Penyampaian Pertandingan Restoran / Kafe dan Gerai Medan Selera Majlis dan Pusat Penjaja Swasta Terbersih di Persiaran Dewan Bandaraya Ipoh di sini hari ini.

Pertandingan Restoran / Kafe dan Gerai Medan Selera Majlis dan Pusat Penjaja Swasta Terbersih telah diajurkan oleh MBI sempena Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia Peringkat Majlis Bandaraya Ipoh Tahun 2022 yang disambut pada 26 September setiap tahun.

Sebanyak empat kategori telah dipertandingkan bermula 15 Julai hingga 15 Ogos 2022 lalu. Kategori itu ialah restoran / kafe, gerai medan selera majlis, gerai medan selera majlis ( bukan makanan / pelbagai ) dan gerai di pusat penjaja swasta (makanan).

Objektif pertandingan itu adalah untuk mempertingkatkan tahap kebersihan, nilai estetika, keselamatan dan kecerian restoran / kafe serta gerai makanan supaya menjadi destinasi menjamu selera yang bersih dan selamat.

Pertandingan terbuka kepada semua premis restoran / kafe yang memiliki sijil penggredan gred A dan gerai medan selera yang dilesenkan di dalam kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Ipoh.

Kriteria penilaian adalah berdasarkan aspek kebersihan, keceriaan, kreativiti serta keselamatan di dalam premis. Pemenang menerima hadiah wang tunai dan sijil.

Kategori Restoran / Kafe telah dimenangi oleh Titik Hati Sdn.Bhd., Lorong Cheah Cheang Lim, Off Jalan Tambun menerima RM3,000.

Kategori Medan Selera Majlis (makanan) dimenangi oleh Alya Izz Afifah Binti Azmi, Gerai No 8, Medan Selera Chemor menerima RM1,000.

Kategori Medan Selera Majlis (bukan makanan / pelbagai) dimenangi oleh Lee Swee Li, Gerai No 12, Gerai Sam Poh Tong menerima RM1,000.

Kategori : Pusat Penjaja Swasta (makanan) dimenangi Tey Han Siang, Gerai No1, LYJ Food Court, Bercham menerima RM1,000.

 

ends//