TAIPING: Festival Global Taiping dan Pertandingan Tarian Singa 2022 yang julung-julung kali dianjurkan di sini berjaya mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR).

MBOR itu diperoleh bagi rekod Pendaftaran Kehadiran Pengunjung Paling Ramai Bagi Pertandingan Tarian Singa yang bertempat di Taiping Mall, di sini.

Menurut Pengurus Pejabat MBOR, Lee Pooi Leng, rekod tersebut merupakan yang pertama di Malaysia dari sudut kehadiran pengunjung, dalam masa dua hari festival berlangsung.

"Kami lihat dari banyak kategori, termasuk berapa hari ia dianjurkan dan tarikh.

"Kerana pihak kami beri penanda aras sebanyak 8,000 tetapi mereka pecah rekod habiskan semua tiket untuk kemasukan 10,000 pengunjung ke festival itu, dalam masa dua hari," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyampaikan plak pengiktirafan MBOR kepada pihak penganjur pada Majlis Makan Malam dan Penyampaian Hadiah Sempena Festival Global Taiping dan Pertandingan Tarian Singa 2022, di sini malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi hadir bagi merasmikan majlis tersebut.

Festival ini merupakan anjuran 6 Sense Group bersama Koperasi Waris dan Kerabat Raja Negeri Perak Berhad.

Aspek pertandingan tarian singa diterajui oleh Pengerusi Majlis Antarabangsa Lion and Dance Performance (LDP), Francis Teo dengan sokongan Persatuan Hong Teik.

Sementara itu, Nolee Ashilin ketika ditemui berkata, Festival Global Taiping dan Pertandingan Tarian Singa itu menghimpunkan lebih 300 peserta dari enam buah negara.

Beliau berkata, pihaknya melihat potensi festival ini boleh dijadikan sebagai acara tahunan di masa akan datang.

"Enam negara itu dari Malaysia, Australia, Vietnam, Thailand, Singapura dan Indonesia.

"Kita juga berjaya pecah rekod dengan tiket kemasukan atau kehadiran seramai 10,000 orang dalam masa dua hari, paling tinggi di bandar Taiping.

"Alhamdulillah, saya harap acara ini dapat kita integrasikan dengan kefahaman kebudayaan khususnya di Malaysia.

"Seperti mana sudah dilakukan di Terengganu, ia (tarian singa) tidak terhad hanya kepada mereka berbangsa Cina tetapi boleh dikembangkan kepada bangsa lain, untuk sukan budaya," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Festival Global Taiping, Raja Omar Ikram Raja Abdullah Omar yang juga bertindak sebagai penganjur berkata, Taiping dipilih bagi lokasi pertandingan kali ini, bersesuaian dengan imejnya yang banyak pertama di Malaysia.

"Ketika kami berbincang di Ipoh, ramai tanya di mana festival ini patut dianjurkan, jadi kami pilih bandar warisan ini.

"Taiping ini banyak yang pertama, jadi ini pun akan jadi pertama di Taiping khususnya dan Perak amnya.

"InsyaAllah untuk tahun 2024, kita akan himpun lebih ramai peserta dari banyak negara selepas ini," katanya.

Acara yang berlangsung selama tiga hari sejak Jumaat itu menyaksikan pasukan dari Singapura mendapat tempat pertama bagi pertandingan Tarian Singa.

Tempat kedua jatuh kepada peserta Indonesia, Ketiga dan Keempat dari Malaysia manakala selebihnya mendapat hadiah saguhati.

Tempat pertama memperoleh RM10,000, Kedua RM5,000 manakala Ketiga dan Keempat pula membawa pulang RM4,000.