IPOH: Platform digital Perak Box Office dijangka dapat meningkatkan industri pelancongan di negeri ini dengan membantu menonjolkan aktiviti serta acara menarik kepada orang ramai.

Perak Box Office merupakan platform penjualan tiket unik khusus untuk negeri Perak, di samping berperanan membantu para pemain industri pelancongan memodenkan pemasaran masing-masing.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi, L’Univers dan Pouch Nation berganding bahu membangunkan platform digital tersebut, bagi memudahkan para pengunjung mengakses acara menarik yang berlangsung di Perak.

"Ia turut disokong pihak kami dan People of Remarkable Talents (PORT), platform digital ini memudahkan para pengunjung mengakses acara yang sedang berlangsung.

"Ia termasuk konsert, perayaan, festival makanan, festival muzik, pameran dan konvensyen, pertunjukan bot antarabangsa, pertunjukan kereta dan acara triathlon.

"Platform seperti Perak Box Office bukan sahaja berguna kepada pelancong untuk mendapat maklumat terkini mengenai acara.

"Tetapi juga berfungsi sebagai pemangkin untuk pembangunan negeri Perak dengan menjana pendapatan sebanyak RM 70 juta dalam tempoh lima tahun," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan pengumuman kerjasama platform penjualan tiket unik khusus untuk negeri Perak yang dikenali sebagai Perak Box Office, di sini pada Isnin.

Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi Pouch Nation, Gonçalo Vaz de Carvalho dan Ketua Pegawai Eksekutif L’Univers, Shannon Lee.

Bersempena dengan pengumuman itu, L’Univers turut mengumumkan mereka akan membawa pertunjukan seni kreatif dan kebudayaan dari serata dunia ke Perak.

Bermula dengan pelancaran "The UK Bubble Show", sebuah pertunjukan silap mata yang menampilkan pemegang beberapa rekod dunia, Eran Backler.

Para pelancong juga akan disaji dengan pelbagai pertunjukan menghiburkan pada suku akhir tahun 2022, yang akan tersedia di platform Perak Box Office kelak.

Sementara itu, Gonçalo berkata, pihaknya menyasarkan untuk menonjolkan pelbagai keunikan di negeri ini di mata dunia.

"Malaysia merupakan negara yang menakjubkan dengan pelbagai tarikan. Semasa menerokai negeri Perak, kami di Pouch Nation amat menghargai kecantikannya dan kepelbagaian tarikan yang tersedia.

"Bagaimanapun, Perak tidak mendapat perhatian yang sepatutnya, dan saya berbangga kerana dapat menonjolkan keunikan negeri ini melalui solusi digital kami.

"Di samping membantu para pemain industri pelancongan memodenkan pemasaran mereka untuk menarik minat lebih ramai orang," katanya.