KUALA KANGSAR - Penganjuran program sukan rakyat Pesta Talang Berkubang 'First Time Voters' pada Sabtu lalu berjaya memikat hati penduduk kampung untuk menyertai acara itu apabila berlangsung meriah

Menepati objektif program, acara sukan rakyat ini dihadiri lebih 500 penduduk kampung khususnya para belia dalam lingkungan 18 tahun yang merupakan bakal pengundi.

Kawasan bendang bersebelahan rumah Datuk Maslin Sham Razman di Kampung Talang bertukar menjadi pesta dengan suara rendah orang ramai yang tidak melepaskan peluang hadir.

Antara acara sukan rakyat diadakan seperti panjat tiang licin, tarik tali bendang dan memancing ikan taliair.

Datuk Maslin Sham yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Chandan turut sama berkubang bersama-sama mereka yang hadir.

"Tahniah diucapkan kepada penganjur kerana mengadakan program yang amat berkesan, meriah dan memberikan kenangan terindah.

"Khusus kepada pengundi-pengundi muda dan yang pertama kali sebagai pengundi untuk pilihanraya akan datang ini.

"Terima kasih juga kepada urusetia dan rakan-rakan yang sama-sama membantu menjayakan program ini dari mula sehingga akhirnya," ujar beliau menerusi hantaran pada laman Facebook.

Majlis perasmian penutupan telah disempurnakan Maslin Sham yang turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang sukan rakyat dan cabutan bertuah.