IPOH: Para tetamu The Haven Resort bakal menikmati muzik ‘sensurround’ yang menggabungkan akustik semula jadi pertama di Perak.

Datuk Bandar Ipoh, Dato’ Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata penganjuran Muzikal Ekstravaganza oleh pihak pengurusan The Haven Resort antara usaha mempromosikan Ipoh sebagai bandar batu kapur, muzik dan kesenian asia yang tepat pada masanya.

“Muzikal Ekstravaganza ini, pastinya mampu mencipta sejarah dan pengalaman baharu kepada para tetamu di mana mereka berpeluang menikmati konsert yang akan berlangsung di pentas terapung di tengah tasik serta dikelilingi kehijauan lanskap yang mempersonakan.

“Mereka juga boleh memilih untuk menikmati muzik ‘sensurround’ ini,  sama ada di taman, di tepi tasik, amfiteater atau dari balkoni menerusi pakej istimewa yang disediakan.

“The Haven berjaya mengetengahkan konsep keharmonian antara manusia dengan ekosistem serta gabungan ciri-ciri kemewahan, sememangnya menjadi trend masa kini yang mahukan ketenangan dan bebas dari kesibukan kota,” katanya dalam sidang media sempena The Haven Musical Extravanganza di The Haven Resort, di sini semalam.

Musical Extravanganza menampilkan karya muzik Orkestra Simfoni Selangor dan disokong oleh  Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC). Konsert berlangsung selama tiga malam bermula 27, 28 dan 29 Oktober 2022.

Hadir sama, Ketua Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif The Haven All Suite Resort, Peter Chan berkata konsert itu akan dipersembahkan di bawah kendalian Eugene Pook, nyanyian mezzo-soprano Jiayao Sun, pemain biola antarabangsa Dr. Hyungi Kim dan penyanyi tempatan Asyraf Farhan Adi Zairi.

“Persembahan yang akan bermula 8.00 malam itu, turut merangkumi karya terkenal daripada The Sound of Music, Phantom of the Opera dan Kitaro.

“Idea yang diinspirasikan daripada Festival Muzik Hutan Hujan Sarawak ini, berpotensi menjadi acara tahunan menarik dan membantu memeriahkan semula industri pelancongan di negeri Perak.

‘Kami berharap pertunjukan Muzikal Ekstravaganza ini akan menjadi pemangkin kepada banyak lagi acara yang mampu mempromosikan bandar raya Ipoh” ujarnya.

Pakej muzikal yang ditawarkan bermula dari RM390 seorang. Pembelian tiket boleh dilakukan menerusi laman sesawang https://www.thehavenresorts.com/musical-extravaganza, WhatsApp 019 759 8285 atau menghubungi Yee Lai 012 570 5498.

Pakej yang disediakan termasuk penginapan di suite berserta sarapan pagi. Para tetamu juga boleh memilih untuk menambah makan malam bufet antarabangsa pada harga RM75.00 seorang.

Untuk maklumat lanjut, sila layari https://www.thehavenresorts.com/. -peraktastic-