IPOH - Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada peringkat Parlimen dan negeri untuk membentuk kerajaan adalah lebih penting sebagai agenda parti berbanding menjadi calon.

Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, justeru tidak harus ada mana-mana pihak berkecil hati sekiranya tidak terpilih sebagai calon.

Katanya, secara peribadi beliau mengucapkan tahniah kepada nama-nama yang terpilih dicalonkan mewakili BN Perak pada pilihan raya kali ini.

"Saya juga minta maaf pada rakan-rakan yang tidak tercalon kerana matlamat kita bukan menjadi calon tetapi menang dalam PRU nanti

"Yang kita hendak tekankan ialah lambang BN itu. Melihat kepada lambang dacing.

"Seperti yang selalu saya tegaskan bahawa kemenangan PRU adalah berasaskan kepada bilangan kertas undi di dalam tong undi. Itu yang penting," ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis Pengumuman Calon BN Perak pada PRU15 di Pusat Konvensyen Aman Jaya di sini pagi tadi.

Seramai 126 orang pemimpin UMNO dalam negeri Perak menawarkan diri mereka sebagai calon untuk bertanding pada kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen.

Bagaimana pun, hanya 24 calon Parlimen dan 59 calon DUN dipilih oleh kepimpinan tertinggi parti setelah membuat pertimbangan yang sewajarnya.

Antara nama-nama yang tercalon pada PRU bagi kerusi Parlimen di Perak ialah Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki akan bertanding di Parlimen Gerik. 

Mohd. Shafiq Fhadly yang juga Ketua Komunikasi BN bertanding di Parlimen Larut menggantikan

Datuk Mohamad Kazim Elias atau Ustaz Kazim yang menarik diri.

Kerusi Parlimen Tambun pula sah ditandingi Ketua UMNO Bahagian Tambun, Dato' Aminuddin Hanafiah manakala dua DUN iaitu Manjoi serta Hulu Kinta diwakili Dato' Azizul Kama Abd. Aziz. dan Datuk Mazlan Abdul Rahman.