IPOH- Seramai 130 orang murid tahun satu hingga enam SJKC Tanah Hitam, Chemor berpeluang melakukan pemeriksaan mata percuma menerusi Program Pemeriksaan Mata Untuk Pelajar-Pelajar Sekolah hari ini.

Pengarah Urusan Mimbar Nusantara Homes Sdn. Bhd (MNS), Nazrin Cheong Abdullah berkata penjagaan kesihatan mata perlu dititikberatkan sebagai salah satu daripada penjagaan kesihatan yang harus dipupuk di kalangan kanak-kanak.

“Mata merupakan organ anugerah tuhan yang sangat berharga. Justeru itu, bagi memastikan fungsi penglihatan sentiasa baik, pemeriksaan awal harus dilakukan setidak-tidaknya setahun sekali.

“Menyedari akan kepentingan itu, MNS bersama Persatuan Kebajikan Amal Makmur Negeri Perak (PKAMNP) menjayakan program ini sebagai salah satu usaha dan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada murid sekolah khususnya dari golongan B40.

“Semua keputusan pemeriksaan mata akan dimaklumkan kepada ibu bapa murid untuk tindakan selanjutnya. Sekiranya di antaranya kurang berkemampuan, kita akan cuba mencari jalan bagaimana untuk membantu bagi meringankan bebanan mereka,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Kebajikan Amal Makmur Negeri Perak, K. Nachemutu berkata sejumlah 6,700 murid di 41 buah sekolah rendah dan menengah di seluruh Perak telah berjaya melakukan pemeriksaan mata.

“Menerusi program ini, kita telah berjaya mengesan sebanyak 20% murid-murid sekolah mengalami masalah penglihatan di peringkat awal. Ini disebabkan gaya hidup dan pemakanan yang tidak sihat.

“Kami turut melaksanakan kem kesihatan kepada orang ramai yang juga memfokuskan kepada kesihatan mata dan pendengaran. Program itu telah mendapat sambutan menggalakkan di dua daerah iaitu di Manjung dan Daerah Kinta,” ujarnya yang juga merangkap Pengerusi Program Pemeriksaan Mata.

Program pemeriksaan mata telah dimulakan sejak awal tahun ini di bawah khidmat nasihat PKAMNP, Pakar Mata KPJ Ipoh, Dr. Jasvinder Singh.

Hadir sama, Guru Penolong Kanan Kokurikulum SJKC Tanah Hitam, Puan Yau Jin Huea. -PERAKTASTIC-