IPOH- Selain melahirkan kepelbagaian keunikan budaya, industri seni visual mampu menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan sektor pelancongan dan kebudayaan negara.

Menyedari hakikat ini, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bersama Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) bagi program seni visual kontemporari.

Datuk Bandar Ipoh, Dato' Rumaizi Baharin@Md Daud berkata pembagunan industri seni visual negara kini semakin mendapat perhatian terutamanya penglibatan generasi baharu yang mampu memacu kelestarian ekosistem seni visual secara mampan.

“Industri seni visual ini, bakal menjadi produk pelancongan baharu yang berpontensi membantu menjana ekonomi setempat mahupun negara.

“Satu Pelan Tindakan Dan Penjenamaan Wilayah Pelancongan Greater Ipoh telah diwujudkan dengan tujuan menjadikan wilayah pelancongan Greater Ipoh sebagai destinasi bertahap antarabangsa yang berdaya saing, inklusif dan mampan melalui pendekatan ’clustering’.

“Ia meliputi empat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Majlis Pembandaran Kuala Kangsar, Majlis Daerah Kampar dan Majlis Daerah Batu Gajah.

“MBI turut memperkenalkan konsep 3H iaitu Heritage, Hipters dan Health. Menerusi konsep inilah, kita cuba untuk membangunkan Balai Seni Visual Negara di Ipoh, Perak,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) bagi program seni visual kontemporari di antara MBI dengan LPSVN di Hotel Travelodge Ipoh, di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah, Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, Amerrudin Ahmad.

Sementara itu, Ketua Setiausaha, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Hajah Saraya Arbi berkata menerusi MOU itu telah membentuk satu perancangan lebih teratur terhadap pembangunan infrastruktur dalaman dan susun atur ruang pameran.

“Apabila kerja-kerja baik pulih siap kelak, bangunan yang dahulunya dikenali sebagai Ibu Pejabat Pos Lama Ipoh ini akan dikenali sebagai Balai Seni Negara Ipoh yang berperanan sebagai pusat para penggiat industri seni dalam merancakkan program seni visual kontemporari terutama di Bandaraya Ipoh. 

“Melalui sokongan dan kerjasama entiti seni tempatan dan luar, besarlah harapan saya agar Balai Seni Negara Ipoh ini dapat menjadi hub seni popular untuk pelaksanaan program seni visual kontemporari,” ujarnya.

Kerja membaik pulih seluruh bangunan bersejarah ini mengambil tempoh selama 18 bulan bermula 21 November 2022 sehingga Mei 2024.

Sejarah pembinaan bangunan Ibu Pejabat Pos Lama Ipoh ini bermula tahun 1913 dan siap sepenuhnya pada tahun 1916. 

Bangunan ini pada mulanya adalah Pejabat Pesuruhjaya British seterusnya berfungsi sebagai Pejabat Pos & Telegraf dari tahun 1928 hingga 1983.