IPOH- Mimbar Nusantara Holdings Sdn Bhd (MNH), menyumbangkan RM5,000.00 kepada KuRenang Swimming Academy sebagai tanda sokongan untuk Kejohanan Renang Antara Kelab Malaysia Piala Presiden 2022 yang bakal berlangsung 9 hingga 11 Desember 2022.

Pengarah Urusan MNH, Nazrin Cheong Abdullah berkata sokongan dari pelbagai agensi dan individu adalah perlu dalam memastikan sukan renang mampu diuruskan dengan baik dan berada ditahap yang membanggakan.

“Kolaborasi antara pihak swasta dengan akademi sangat dialu-alukan dalam usaha menggilap lebih ramai bakat baharu khususnya di Negeri Perak.

 “Melihat dari rekod pencapaian para atlet tanahair di beberapa kejohanan lalu telah menyuntik semangat generasi muda untuk melangkah lebih jauh dalam bidang sukan ini.

“Oleh itu pihak MNH terpanggil untuk bersama-sama menyumbang dana bagi memastikan pasukan pelapis yang terdiri daripada anak-anak muda ini mendapat keselesaan dalam menjalani sesi latihan,” katanya pada pemberita di sempena Majlis Penyampaian Sumbangan Kejohanan Renang Antara Kelab Malaysia Piala Residen 2022 baru-baru ini.

Nazrin Cheong turut menyampaikan replika cek kepada wakil KuRenang Akademi, Kevin Yeap.

KuRenang Swimming Academy, merupakan salah satu akademi sukan renang yang menganjurkan program ‘Learn To Swim’ bagi perenang kompetitif dan elit.

Tambah Nazrin Cheong lagi, menerusi sumbangan tersebut, beliau yakin akan membantu membuahkan hasil positif dalam melahirkan atlet baharu yang berbakat besar, malah memberi impak kepada pembangunan sukan renang di negara ini.

“Kita mahu memastikan minat dan kecedenrungan anak-anak muda dapat direalisasikan dengan baik dan sekali gus membantu negara melahirkan individu pelapis yang bertaraf antarabangsa,” katanya.