IPOH - Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad akan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak hari ini bagi penubuhan kerajaan gabungan BN - Pakatan Harapan (PH).

Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Mohd. Annuar Zaini mengesahkan perkara itu tadi dan majlis istiadat tersebut akan diadakan di Istana Kuala Kangsar.

Katanya, kerajaan gabungan BN - PH itu telahpun diperkenankan Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

BN yang mempunyai sembilan kerusi dan PH (24) membolehkan kerajaan yang stabil dengan 33 kerusi.

Sementara itu, Saarani ketika ditemui memberitahu, gabungan BN dan PH telah mencapai kata sepakat untuk membentuk kerajaan negeri di Perak setelah perkara itu dipersetujui antara kedua-dua parti.

"Sebentar tadi saya telah menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk menyembah maklum tentang perkara ini.

"Seterusnya terpulang kepada Tuanku untuk membuat keputusan berhubung perkara seterusnya," ujarnya selepas keluar dari Istana Kinta di sini.

Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi DAP Perak, Dr. Aziz Bari dan Ahli Jawatankuasa DAP Pusat, Howard Lee yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur.

Perak mempunyai 59 kerusi DUN dan pada Pilihanraya Umum ke-15 lalu PH menang 24 kerusi dan BN (sembilan) manakala Perikatan Nasional (26).