IPOH- Persatuan Hotel Bajet & Bisnes Malaysia (MyBHA) mengharapkan senario politik yang melanda selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dapat berakhir dengan baik serta mampu mewujudkan satu kerajaan yang stabil dan berintegriti.

Presiden MyBHA, Dr. Sri Ganesh Michiel berkata penubuhan sebuah kerajaan yang mampan mampu memastikan pemulihan industri perhotelan dan pelancongan yang telah terjejas dapat diselenggarakan semula dengan baik dan segera.

Keadaan politik semasa mahupun kerajaan yang kurang stabil akan memberi kesan kepada industri perhotelan dan pelancongan dalam proses pemulihan secara berperingkat.

Kami berharap supaya kerajaan baharu agar lebih prihatin serta efisen dalam menyelesaikan ancaman-ancaman industri perhotelan seterusnya dapat memperkenalkan suatu rang undang-undang kawal selia Penginapan Kediaman Jangka Pendek (Short-Term Residential Accommodation) dan semua jenis agensi pelancongan atas talian.

Perkara ini gagal dilaksanakan oleh pihak kerajaan terdahulu dan kami mengharapkan kerajaan baharu dapat mengembalikan cukai-cukai yang telah hilang mahupun ketirisan hasil yang berpunca daripada ancaman-ancaman industri tersebut," katanya dalam satu kenyataan media semalam.

MyBHA, merupakan sebuah persatuan yang berdaftar dengan Suruhanjaya Pertubuhan Malaysia (SPM) dibawah akta pertubuhan 1966.

Menurut Ganesh Michiel, MyBHA dipertanggungjawabkan untuk mewakili dan membantu hotel-hotel bajet yang berlesen dan berdaftar di Malaysia dalam mengetengahkan masalah-masalah yang dihadapi oleh ahli-ahli dibawahnya.

Segala permasalahan akan diusulkan kepada pihak bertanggungjawab yang berkaitan bagi meningkatkan imej industri perhotelan bajet di bawah tiga bintang seterusnya memastikan industri pelancongan negara berjalan dengan lancar," ujarnya.