Fenomena hakisan yang mempengaruhi geomortologi pinggir pantai Teluk Nipah dan Pantai Coral diramalkan bakal menjejaskan industri pelancongan dalam masa 10 tahun akan datang sekiranya tidak dibendung.

Menyedari risiko itu, Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Sivil dan Alam Sekitar, Universiti Teknologi PETRONAS (UTP), Dr Teh Hee Min berkata Projek Mewujudkan Persekitaran Pantai  Lestari Teluk Nipah UTP, antara inisiatif menangani masalah hakisan yang semakin meruncing.

“Keadaan pinggir pantai berpasir di kedua-dua kawasan tarikan pelancong ini semakin merosot sejak itu 2017 dan memberi kesan kepada para penduduk, peniaga dan penggiat pelancongan.

“Lazimnya, hakisan yang berlaku disebabkan dua faktor utama sama ada faktor fizikal atau semula jadi dan kegiatan manusia.

“Faktor semula jadi sememangnya tidak dapat dielakkan kerana ia saling bertindak di pesisiran pantai seperti ombak, arus, angin dan air pasang surut  yang mempengaruhi pembentukan landskap di pinggir pantai.

“Manakala, faktor kegiatan manusia yang membina penempatan, pembangunan, infrastruktur dan sebagainya tanpa kawalan juga menyumbang kepada hakisan pantai,” katanya sewaktu lawatan bersama media di Pantai Teluk Nipah, baru-baru ini. 

Projek Mewujudkan Persekitaran Pantai Lestari Teluk Nipah turut mendapat kerjasama Majlis Perbandaran Manjung (MPM) dan Jabatan Pengairan dan Saliran  (JPS) Manjung.  

Menerusi kajian yang telah dilakukan, Teh Hee Min mendapati hakisan di pinggir pantai terbabit berlaku sejak 1990. Namun kini,  jarak hakisan pinggir pantai telah mencecah kepada tiga meter setiap tahun. 

Antara langkah-langkah proaktif dalam menyelesaikan isu hakisan pantai itu ialah pembinaan lapis lindung batu (rock revetment) sepanjang 50 meter di Pantai Coral telah dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran Daerah Majung. 

Menurut Teh Hee Min, pembinaan lapis lindung batu itu bukanlah satu penyelesaian yang holistik tetapi ia merupakan langkah pencegahan dan mengurangkan hakisan pantai daripada terus berlaku. 

“Inisiatif yang telah dilakukan hanyalah untuk jangka masa pendek dan tindakan seterusnya haruslah dilakukan dengan segera. Selain itu, kesedaran semua pihak juga amat penting dalam menangani isu ini. 

“Pembangunan di kawasan persisiran pantai yang tidak mampan bukan sahaja menjejaskan alam sekitar tetapi juga turut mempengaruhi komuniti setempat. 

“Antara aktiviti manusia yang menyebabkan hakisan bertambah serius adalah pembangunan pelancongan seperti pembinaan resort, hotel, jambatan dan sebagainya,” katanya.

Seorang petugas rekreasi pantai (beachboy) Mohd Nor Azahari Ahmad Baddri, 40, ketika ditemubual berkata kejadian hakisan di Pantai Coral mula terjadi sejak empat tahun lalu. 

“Kejadian hakisan ini semakin hari semakin membimbangkan di mana garis pantai semakin musnah sekaligus membahayakan keselamatan semua pihak. 

“Pembinaan lapis lindung batu ini telah dilakukan beberapa kali namun hakisan tetap berlaku disebabkan ombak yang berterusan. Keindahan Pulau Coral juga semakin tergugat. 

“Peniaga-peniaga disini membina stor untuk menyimpan pelbagai peralatan sukan air. Sekiranya pihak berkuasa tempatan gagal menangani masalah ini dengan baik dan berkesan, tidak mustahil stor kami juga akan roboh dan dihanyutkan ombak. 

“Kami mengharapkan pihak berkuasa dapat menempatkan peniaga-peniaga ke kawasan yang lebih selamat dan kami bersedia jika diarahkan untuk berpindah pada bila-bila masa,” katanya. -PERAKTASTIC-