IPOH: Politeknik Ungku Omar dengan kerjasama Alumni Politeknik Ungku Omar (PUO) baru-baru ini telah menganjurkan majlis perjumpaan bekas pelajar tahun 1971/1973, di sini.

Lebih istimewa apabila perjumpaan tersebut dihadiri oleh bekas tenaga pengajar PUO dari German, Helmut Ullrich.

Menerusi kenyataan PUO, Ullrich merupakan tenaga pengajar di Jabatan Elektronik (kini Jabatan Kejuruteraan Elektrik).

Katanya lagi, beliau telah diberikan penerangan ringkas berkenaan perkembangan PUO, di samping di bawa melawat sekitar kampus PUO.

"Ullrich berkongsi pengalaman beliau sepanjang bertugas di Malaysia. Beliau juga berkesempatan beramah mesra bersama-sama pelajar yang sedang menghadiri kursus kepimpinan sempena kemasukan pelajar baharu bagi sesi II 2022/2023.

"Rata-rata bekas pelajar Ullrich menzahirkan kegembiraan dan penghargaan kepada beliau atas usahanya yang sentiasa meneroka peluang berhubung serta merapatkan persahabatan bersama-bekas pelajar," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, PUO menyambut baik usaha murni para alumni yang sentiasa berhubung dan mempelbagai jalinan kerjasama di antara satu sama lain.

Selain itu, PUO komited meneruskan usaha mendampingi alumni dari pelbagai latar belakang supaya hubungan baik di antara alumni dan institusi ini kekal utuh.

Seterusnya alumni berpotensi untuk menjadi rakan strategik serta menyumbang kepakaran bagi membantu PUO melahirkan graduan yang terampil dan kompeten.