IPOH: Polis menahan empat lelaki yang terdiri daripada tiga kakitangan dan seorang pelatih Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) bagi membantu siasatan kes kematian seorang pelatih pusat itu, baru-baru ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, empat individu yang berusia dalam lingkungan 30 hingga 38 tahun itu direman selama tujuh hari bermula semalam.

"Pada 31 Januari lalu kira-kira jam 12.55 tengah hari, pihak polis menerima maklumat berkaitan kematian seorang lelaki warganegara tempatan berumur 50 tahun di PUSPEN Perlop, Sungai Siput.

"Hasil siasatan awal mendapati terdapat kesan kecederaan pada bahagian badan si mati.

"Mangsa telah dibawa ke Hospital Sungai Siput (U) dan kemudiannya dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat

"Hasil bedah siasat mengesahkan terdapat kecederaan di bahagian belakang badan si mati akibat dipukul dengan menggunakan objek tumpul," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata kes diklasifikasikan di mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Justeru katanya, masyarakat dinasihatkan untuk tidak sesekali menularkan maklumat yang tidak sahih kepada umum dan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.