Oleh Balqis Jazimah Zahari

GERIK: Seramai 80 orang dari pelbagai agensi kerajaan menyertai Program Gotong Royong Mencegah Aedes anjuran Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Perak bersama Komuniti Rukun Tetangga (KRT) Zon 13 semalam.

Program bermula seawal jam 8.30 pagi itu disertai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Gerik, Polis Daerah Gerik, Batalion Ke-4 Rejimen Sempadan Gerik, Majlis Daerah Gerik, Pejabat Daerah Hulu Perak, Kelab COMBI Gerik, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Hulu Perak, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Gerik, ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan penduduk sekitar kawasan tersebut.

Aktiviti gotong royong itu meliputi Taman Sinaran, Taman Sinaran Hijau, Taman Beringin, Taman Angsana, Taman Selamat, Taman Ria dan Kuarters Syifa.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan negeri, Salbiah Mohamed turut hadir bersama-sama bagi memberikan sokongan program berkenaan.

Salbiah berkata, tujuan utama aktiviti berkenaan adalah untuk membersihkan kawasan sekitar supaya bebas daripada pembiakan nyamuk aedes.

"Ianya susulan daripada peningkatan kes dan wabak demam denggi yang telah dicatat kepada lapan kes dari kawasan sekitar perumahan ini.

"Aktiviti ini turut menjadi salah satu pendekatan agar keharmonian dan kesejahteraan penduduk sentiasa terjaga serta mampu membebaskan dari segala wabak penyakit," katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya di sini.