IPOH: Ipoh menjadi tuan rumah bagi penganjuran Hari Landskap Negara 2023 yang disambut pada 10 hingga 12 Mac depan bertempat di Laman Sejahtera, Taman DR Seenivasagam, di sini.

Menurut Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin, acara perasmian akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 11 Mac jam 9 pagi.

"Pelbagai acara menarik akan diadakan sepanjang tiga hari seperti jualan dan pameran landskap, forum landskap, demostrasi bunga bungaan, kendera saji, buskers, aktiviti kebudayaan, aktiviti komuniti, sukan rakyat dan pelbagai lagi.

"Warga Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan warga Ipoh dialu-alukan hadir beramai-ramai untuk memeriahkan sambutan berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Penuh Majlis Bulan Februari 2023 di Dewan Mesyuarat MBI, di sini, pada Rabu.

Sebelum ini Hari Landskap Negara 2022 (HLN2020) disambut di Taman Bandar Ekoflora, Johor Bahru dengan tema '25 Tahun Negara Taman Terindah'.