IPOH - Projek taman tema di Tanjung Tualang dekat Batu Gajah boleh memacu pembangunan ekonomi setempat melalui pelancongan sekiranya ia mampu menarik pengunjung.

Justeru, kegagalan pada projek Movie Animation Park Studio (MAPS) di Meru, Ipoh perlu dipelajari agar kesilapan sama tidak berulang.

Penganalisis ekonomi, Prof. Madya Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd. Dali berkata, sebaiknya kajian terperinci dan awal dilakukan bagi mengenalpasti kebolehan projek.

Beliau yang juga Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat USIM memberitahu, ini kerana berdasarkan kajian tersebut boleh memberi dapatan kesesuaian pembangunan yang dirancang.

"Umumnya, setiap pelaburan mesti ada risiko dan pulangan tetapi kita kena lihat sama ada ia berbaloi atau tidak, sebab itu kajian penting.

"Sebagai entiti yang hendak menjana keuntungan, kita kena tahu apakah nilai taman tema ini nanti. Siapakah sasaran pengunjung sama ada dalam atau luar negara.

"Sebab itu kena ada jangkaan berapa lama ia boleh memberi pulangan.

"Jadi jika kajian telah dijalankan dan mendapati ada pulangan ekonomi, maka sudah pasti ia merupakan projek yang positif," ujarnya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut kata Nuradli Ridzwan Shah, sumber pendapatan yang bakal diperolehi daripada pembukaan taman ini nanti merupakan penentu kehadiran pengunjung.

"Kita pun kena jelas apa jenis dan bentuk taman tema yang hendak dimajukan. Penglibatan rakan strategik juga penting untuk melihat pembangunan ini boleh berdaya saing.

"Jika caj masuk yang dikenakan berpatutan dan sesuai pada pengunjung tempatan tidak mustahil ia boleh mendapat tempat," ujarnya.

Pada Rabu, media melaporkan anak syarikat milik penuh Tafi Industries Bhd, TAFI Home & Office Sdn. Bhd. dianugerahkan kontrak oleh TT5 Theme Assets Sdn Bhd bagi membina, menguji dan memasang, menyiap dan menyerahkan kerja taman tema di Tanjung Tualang, Perak dengan kos RM11 juta.

TT5 adalah bekas kapal korek yang kini dijadikan muzium dan menjadi salah satu tarikan pelancong.

Taman tema itu dibina di atas tanah milik Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) yang juga akan menguruskan lokasi tersebut apabila
siap kelak

Semalam, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, projek yang dibangunkan itu dilaksanakan menerusi PFI tidak melibatkan wang kerajaan negeri.

Beliau berkata, taman tema berkenaan dibina bertujuan menjana pendapatan untuk kerja-kerja penyelenggaraan bagi memulihara Kapal Korek Tanjung Tualang No 5 (TT5). -PERAKTASTIC-