Oleh Balqis Jazimah Zahari

IPOH: Inisiatif Ipoh Echo dalam menerbitkan berita tentang kejayaan Polis Perak mendapat pengiktirafan apabila menerima sijil penghargaan sempena Sambutan Hari Polis Ke-216 hari ini.

Sijil disampaikan oleh Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris pada sambutan yang diadakan di Markas Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA), Ulu Kinta di sini.

Ketua Pengarang Ipoh Echo, Rosli Mansor Ahmad Razali hadir bagi menerima sijil penghargaan tersebut.

Turut menerima penghargaan sama adalah 20 agensi media lain di negeri Perak.

Pada majlis itu, seramai 12 pegawai menerima Surat Penghargaan Ketua Polis Perak, Anugerah Integriti PDRM (lima) dan seorang pegawai menerima Surat Penghargaan Pengarah Pengurusan PDRM.

Bagi kategori orang awam pula dua orang menerima Surat Penghargaan Ketua Polis Perak.

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Terdahulu, majlis sambutan bermula dengan kawalan kehormat seramai 53 pegawai Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU)Unit 5 Ipoh.

Program dihiasi dengan pelbagai persembahan bercorak kepolisan termasuk deklamasi sajak, silat, T-Baton dan persembahan sketsa.

Sambutan diakhiri dengan persembahan tarian perang Senoi Praaq dari Batalion 3 PGA, Bidor. -Peraktastic-