Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2022 akan dikeluarkan pada 8 Jun 2023 (Khamis).

Seramai 403,637 orang calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM Tahun 2022 di 3,355 buah pusat peperiksaan di seluruh negara dan seramai 131,318 petugas peperiksaan telah dilantik bagi keseluruhan peperiksaan ini.

Menurut kenyataan media KPM, calon sekolah boleh memperoleh keputusan peperiksaan SPM daripada sekolah masing-masing mulai pukul 10.00 pagi pada tarikh tersebut.

“Bagi calon persendirian, keputusan peperiksaan akan dihantar melalui pos atau calon boleh menghubungi Jabatan Pendidikan Negeri tempat calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan.

“Sementara, calon sekolah dan calon persendirian juga boleh membuat semakan keputusan peperiksaan melalui dua kaedah yang pertama secara dalam talian di pautan myresultspm.moe.gov.my untuk mendapatkan slip keputusan peperiksaan SPM Tahun 2022 mulai pukul 10.00 pagi pada 8 Jun 2023 sehingga pukul 6.00 petang pada 14 Jun 2023.

“Kedua secara sistem pesanan ringkas (SMS) untuk mendapatkan ringkasan keputusan peperiksaan SPM Tahun 2022 dengan menaip SPMNoKPAngkaGiliran dan hantar ke 15888.

“Sistem itu akan diaktifkan mulai pukul 10.00 pagi pada 8 Jun 2023 sehingga pukul 6.00 petang pada 14 Jun 2023,”

KPM mengucapkan tahniah dan selamat maju jaya kepada semua calon SPM Tahun 2022.