BATU GAJAH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengumumkan kartunis negara, Datuk Mohammad Nor Mohammad Khalid atau Lat sebagai Seniman Diraja.

Baginda mengumumkan perkara itu pada perasmian Galeri Rumah Lat di sini hari ini.

“Mengiktiraf peranan dan sumbangan besar lagi bermakna Datuk Mohammad Nor Khalid memperkenalkan Malaysia di pentas antarabangsa, dengan sukacitanya Beta mengumumkan beliau sebagai Seniman Diraja,” titah baginda

Baginda juga menyifatkan Lat sebagai seorang seniman yang dikurniakan Allah bakat sangat istimewa dan luar biasa.

Baginda bertitah, sumbangan dan penglibatan Lat dalam dunia kartun tanah air amat terserlah serta berjaya mengangkat dirinya sebagai tokoh kartunis yang cerdas, bersifat genius, serta memiliki identiti yang unggul.

Titah baginda, lakaran bersahaja melalui garapan pengalaman telah meletakkan karya-karya Lat di kelas tersendiri, melayakkan beliau dianugerahi dengan pelbagai penghargaan dan pengiktirafan di peringkat antarabangsa yang turut mengharumkan nama negara.

“Karya-karya beliau menggambarkan pandangan dan analisis peribadinya terhadap pelbagai isu, menyentuh kehidupan rakyat jelata terdiri daripada pemandu bas, pemandu teksi, polis trafik, pegawai kastam, pegawai imigresen, doktor dan jururawat, hakim dan peguam, pilot dan pramugari, tokoh sukan, pemimpin agama, pemimpin politik dan pemimpin negara, menyentuh isu-isu lokal, nasional dan antarabangsa.

“Di sebalik karikatur lucu yang dikembari dengan dialog ringkas, terkandung falsafah, mesej-mesej yang serius, sindiran yang tajam, persoalan dan saranan, diolah dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan, tanpa mengundang konflik dan permusuhan,” titah baginda.

Terdahulu, Sultan Nazrin bercemar duli menyempurnakan majlis perasmian Galeri Rumah Lat di Batu Gajah pagi tadi.

Keberangkatan baginda pada pukul 10.15 pagi dengan diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, disambut Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Lat.

Sultan Nazrin turut dan Tuanku Zara turut berkenan melihat pameran galeri yang menghimpunkan karya lukisan Lat serta melawat replika Rumah Lat.

Sementara itu, Lat ketika ditemui pemberita mengucapkan rasa bersyukur di atas kurniaan gelaran tersebut.

"Saya merasa terkejut dan terperanjat, saya amat hargai penghargaan yang diberikan ini.

"Ini juga sebenarnya menunjukkan bagaimana hubungan rakyat dan raja berpisah tiada.

"Sebenarnya, jika kita lihat di negeri lain memang ada pengkarya negeri tersebut mendapat pengiktirafan Diraja," ujarnya.

Lat juga berharap galeri itu nanti dapat memberi manfaat kepada masyarakat menerusi karya-karya yang dipamerkan serta mempelajari apa yang terkandung di dalamnya.

Katanya, semua lapisan rakyat dialu-alukan untuk menikmati pameran karya serta nilai-nilai murni dan positif menerusi hasil lukisan beliau. - PERAKTASTIC-

FOTO: Jabatan Penerangan