Pemenang Karya Pilihan Pengarah – Siti Nur 'Aqilah Tonjol Bakat Luar Biasa
- Details
- Rosli Mansor Hj. Ahmad Razali
- Komuniti
- Hits: 195

IPOH- Pelajar Tingkatan Enam, Kolej Tingkatan Enam Seri Ipoh, Siti Nur ‘Aqilah Muhammad Zairi, muncul sebagai pemenang karya pilihan pengarah daripada 45 karya seni yang dipamerkan dalam Pameran Buah-Buahan Nadir Malaysia baru-baru ini.
Menurut Siti Nur ‘Aqilah, minatnya dalam seni bermula sejak darjah satu dan terus berkembang hingga ke Tingkatan Enam, meskipun beliau tidak mengambil subjek Pendidikan Seni Visual ketika SPM.
“Saya memang gemar melukis sejak kecil. Melukis adalah hobi yang tidak pernah buat saya bosan, terutama apabila melibatkan unsur alam semula jadi seperti bunga,” katanya.

Beliau mengakui berdepan beberapa cabaran dalam menyiapkan karya tersebut, termasuk mencari media yang sesuai serta idea yang seiring dengan tema pameran.
Karya catan beliau diilhamkan daripada buah-buahan nadir Malaysia yang kian dilupakan.
“Inspirasi utama saya ialah buah nadir yang semakin tidak dikenali generasi hari ini. Saya mahu menonjolkan nilai tradisi Malaysia dan mengingatkan masyarakat tentang warisan yang semakin pupus,” jelasnya.

Menggunakan konsep Pop Art, karya tersebut menggabungkan elemen moden dengan simbol tradisional seperti corak batik dan bunga raya. Subjek utama catan ialah buah beruas dan kundang, manakala pemilihan warna dan teknik memberi kesan visual yang lebih mendalam.
Antara teknik yang digunakan ialah glazing, bagi menghasilkan lapisan warna yang berkilat dan bercahaya, serta pointilisme, iaitu penggunaan titik-titik kecil bagi membentuk imej.
“Saya berharap karya ini mampu membuka mata masyarakat untuk lebih menghargai buah-buahan nadir tempatan yang sarat manfaat. Warisan ini tidak seharusnya dibiarkan hilang,” katanya.

Siti Nur ‘Aqilah turut menyatakan aspirasinya untuk terus mengasah kemahiran seni dan menjadi pengkarya yang lebih berbakat pada masa hadapan. - PERAKTASTIC-


