IPOH- Datuk Bandar Ipoh, Dato’ Rumaizi Baharin @ Md Daud  menyahut hasrat Kerajaan Pusat untuk menggerakkan ekonomi penggiat industri dalam pelbagai sektor agar membolehkan ianya bergerak seimbang bagi menstabilkan krisis ekonomi yang kian meruncing kesan daripada penularan covid 19 masa kini.

“Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) selaku pihak berkuasa tempatan memandang serius dan peka dengan apa yang berlaku kepada pelbagai sektor industri masa kini.  Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk bertindak bagi melancarkan urusan pentadbiran yang tergendala.

“Kita akan memberi keutamaan kepada  kelulusan pelan-pelan pembangunan di bawah kawasan pentadbiran bagi merancakkan semula pembangunan ekonomi dan fizikal di Ipoh serta membantu penggiat industri di sektor pembinaan”, katanya.

Kenyataan itu adalah antara intipati Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Setempat secara atas talian yang pertama MBI dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang sedang berlangsung ini.

Mesyuarat itu melibatkan 13 agensi teknikal luaran antaranya Jabatan Kerjaraya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Mineral dan Geologi (JMG), Indah Water Konsortium (IWK), Lembaga Air Perak (LAP) dan Pejabat Tanah & Galian(PTG) serta sembilan agensi teknikal dalaman MBI termasuk Jabatan Perancangan Bandar, Jabatan Kerja Awam, Jabatan Kawalan Pembangunan dan Jabatan Landskap.

Beliau menambah dengan inisiatif yang dipersetujui itu mampu merancakkan semula pertumbuhan ekonomi negara khususnya termasuk Bandaraya Ipoh sendiri.

“Usaha ini juga secara tidak langsung dapat mengelakkan pemberhentian pekerja yang akan meningkatkan kadar pengangguran dan memberi implikasi kepada masalah social.

“Namun dalam keghairahan kita memulihkan sektor ekonomi, seharusnya kita jangan sekali-kali terlupa akan aspek kualiti dan keselamatan mengikut SOP yang telah ditetapkan. Penjarakkan sosial, mencuci tangan dan memakai topeng muka haruskan diutamakan bagi memastikan pencegahan penularan wabak covid 19 dari berleluasa dapat dilaksanakan dengan berkesan”, katanya.