IPOH - DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memperkenankan solat Jumaat diadakan di semua masjid dan surau.

Menurut satu kenyataan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Datuk Seri Mohd. Annuar Zaini berkata ketetapan ini terpakai dan berkuat kuasa 28 Januari 2021 sehingga dikeluarkan apa-apa ketetapan baharu.

“Keputusan itu dibuat selepas baginda menimbangkan sembah cadangan MAIPk yang berpandukan nasihat Jawatankuasa Fatwa Perak serta pandangan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara. Keputusan itu juga membolehkan lebih ramai individu menunaikan solat Jumaat.

“Baginda turut memperkenankan had maksimum 40 orang jemaah bagi solat Jumaat, solat fardu dan solat jenazah tidak termasuk ahli jawatan kuasa dan pegawai masjid atau surau.

“Jemaah yang dibenarkan terbatas kepada warganegara Malaysia lelaki dalam lingkungan usia 18 hingga 70 tahun,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Annuar berkata, syarat-syarat penjarakan antara jemaah akan diperketatkan dengan pengenalan mekanisme baharu merangkumi aliran masuk dan keluar masjid mahupun surau.

Katanya, aktiviti keagamaan seperti kuliah dibenar untuk diadakan dalam tempoh antara waktu solat Maghrib dan Isyak di masjid dan surau dan hendaklah dihentikan sebaik sahaja masuk waktu solat Isyak.

“Bagaimanapun sebarang acara jamuan di dalam atau perkarangan masjid dan surau tidak dibenarkan,” katanya.

Tambahnya ,kebenaran itu termasuk surau dalam bangunan pejabat, institusi, universiti, kolej, sekolah dan kilang-kilang sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Baginda juga menzahirkan titah nasihat agar semua masjid dan surau menganjurkan solat sunat hajat setiap hari, memohon ihsan dan rahmat daripada Allah agar wabak Covid-19 ini berjaya dibendung dan kehidupan insan dapat kembali biasa”, katanya.

 

End//