IPOH- Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) memperuntukan RM 28 juta setahun bagi melaksanakan pengurusan sampah domestik 

Pengarah Perbendaharaan Bandaraya, Mohd Syazlan Mohd Isa Suffian berkata MBI telah melaksanakan pengurusan kutipan sampah domestik melalui dua kaedah iaitu secara kontrak dan secara dalaman.

“Sejumlah 85 peratus kerja-kerja pengurusan kutipan sampah telah diamanahkan kepada dua syarikat swasta iaitu Ltc Alam Bersih Sdn Bhd dan Maju Perak Holding Berhad.  

"Pembayaran kutipan sampah dalam sebulan mencecah kepada RM1.3 juta sebulan dan jumlah ini akan meningkat setiap tahun bila berlaku pertambahan kawasan perumahan baru. 

“ Selain itu, buat masa ini, kos pengurusan sampah di tapak pelupusan sampah ialah antara RM 300 ribu ke RM 350 ribu sebulan bergantung kepada jumlah sampah yang dibuang setiap bulan. 

"Mengambilkira kedua-dua perbelanjaan utama dalam pengurusan sampah domestik, jumlah keseluruhan kos pengurusan sampah domestik melibatkan lebih RM20 juta setahun. 

" Peruntukan bagi pengurusan sampah domestik juga telah ditambah pada tahun ini sebanyak RM 3 juta bagi menampung pertambahan kawasan baru dan jumlah sampah yang bertambah dari tahun ke tahun di mana keseluruhannya telah meningkat kepada RM23 juta”, katanya dalam satu temubual bersama Peraktastic, di pejabatnya, di sini hari ini.

Menurutnya lagi, pengurusan sampah secara dalaman sebanyak 15%, melibatkan 95 orang anggota termasuk pemandu. 

“Walaupun pengurusan secara dalaman hanya 15%, namun ianya melibatkan perbelanjaan melebihi RM5 juta setahun yang mana sebahagian besarnya melibatkan perbelanjaan emolumen pekerja dan perbelanjaan operasi seperti kenderaan, peralatan, minyak dan lain-lain. Keseluruhannya kos pengurusan sampah dalam setahun semakin bertambah sehingga RM28 juta setahun”, katanya.