PUTRAJAYA – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) adalah pihak berkuasa tempatan (PBT) tunggal di Perak yang menyahut cabaran untuk menyertai ‘Low Carbon Cities 2030 Challenge’ (LCC2030C).

Cabaran itu akhirnya membuahkan hasil apabila MBI dianugerahkan ‘Diamond Recognition Low Carbon Zone' (Kawasan Perancangan Pusat) pada Majlis Anugerah Bandar Rendah Karbon 2020 yang diadakan di Putrajaya, hari ini.

Anugerah disampaikan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man kepada Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud.

Kawasan yang dicalonkan dan diaudit adalah Kawasan Perancangan Pusat (KPP) terletak dalam Blok Perancangan 1 (BP1). 

Untuk makluman, populasi penduduk pada tahun 2016 adalah seramai 30,230 orang manakala pada tahun 2019 seramai 32,120. 

Dengan pertambahan populasi penduduk, pelepasan karbon dalam elemen ‘Energy’, ‘Water’ dan ‘Waste’ masih dapat dikurangkan dan data perbandingan adalah berdasarkan laporan yang diaudit dari tahun 2016 sehingga 2019.

Semoga anugerah ini akan menjadi pemangkin kepada MBI untuk menjadikan Ipoh Bandaraya Pintar dan Rendah Karbon menjelang 2030.

Untuk makluman, Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) dan Malaysian Green Technology Corporation (GreenTech Malaysia) telah menganjurkan LCC2030C buat pertama kalinya pada 23 Julai 2019.

LCC2030C adalah inisiatif baharu dengan sasaran untuk mempercepatkan transformasi bandar-bandar di Malaysia ke arah bandar karbon rendah.

Bagi memastikan program ini memenuhi objektifnya, GreenTech Malaysia bekerjasama dengan PBT untuk mewujudkan Zon Rendah Karbon di setiap ibu negeri dan kawasan bandar utama di seluruh negara.

Zon-zon Rendah Karbon ini akan mengurangkan pengeluaran daripada penggunaan tenaga dan air bangunan dan kawasan umum, pengurangan emisi daripada penggunaan kenderaan petrol dan diesel dan mengurangkan pelepasan daripada pembentukan sisa yang terkumpul di tapak pelupusan sampah.