MANJUNG – IMIKA Charity bersama Pertubuhan Kebajikan Ukhuwah Masyarakat Prihatin Perak (Ukhuwah) telah menyantuni penduduk kurang berkemampuan di beberapa kampung sekitar Manjung menerusi Program Berkongsi Rezeki Ramadhan yang diadakan baru-baru ini.

Pada program ini, sumbangan telah dihantar ke beberapa kampung termasuk Kampung Kayan, Batu (Bt) 15, Bt 10, Bt 9, Bt 8 Lekir, Pasir Pandak dan Seri Manjung.

Turut disantuni ialah para pelajar dan guru-guru di Sekolah Agama Tahfiz Batu 8 Lekir.

Pengerusi Ukhuwah, Norhaslinda Zakaria berkata, pihaknya sangat berbesar hati apabila IMIKA Charity yang merupakan cabang kepada syarikat Imika HQ Ipoh milik usahawan muda, Abdul Rahim Tahir sudi untuk melibatkan kerjasama.

Beliau yang juga Ketua Srikandi Bahagian Lumut berkata, walaupun sumbangan yang tidak sampaikan kecil, tetapi ia sangat dihargai oleh para penerima apatah lagi menjelang ketibaan Ramadan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak Imika HQ Ipoh kerana menjemput Ukhuwah sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan untuk bersama-sama menyempurnakan program ini.

“Penerima mendapat sekampit beras dan sepapan telur ayam. Penerima bantuan ini, dikenal pasti oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) setiap kampung yang terlibat,” ujarnya.

Katanya lagi, program seumpamanya juga akan dilaksanakan pada Ramadan nanti dengan tumpuan untuk menyantuni masyarakat kampung yang terkesan dengan pandemik Covid-19 selain meringankan beban keperluan penduduk.