IPOH- Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid menggesa masyarakat agar tidak menganjurkan atau menghadiri rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang sedang dilaksanakan sekarang.

Beliau berkata demikian berikutan kebimbangan peningkatan kes positif semakin melonjak di negeri ini.

“Saya menasihati masyarakat agar menjaga keselamatan diri sendiri dan keluarga supaya idak mengadakan lawatan dari rumah ke rumah dan menghadiri rumah terbuka.

"Arahan ini untuk memastikan bahawa risiko penyebaran COVID-19 dapat dilaksanakan dengan berkesan, " katanya dalam sidang media di Tol Jelapang Lebuhraya Utara-Selatan PLUS di sini, hari ini.

Statistik terkini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Perak mencatatkan kadar infektiviti tertinggi (R-Naught (R0 / RT)) dari semua negeri adalah pada tahap 1.32.

Menurut Mior Faridalathrash, seorang tuan rumah di Tanjung Malim didenda RM2,000 kerana mengadakan rumah terbuka semalam.

"Kami menerima maklumat tersebut hasil laporan orang ramai. Pasukan polis Perak akan terus memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) kesemua daerah dan kompaun akan dikeluarkan kepada yang tidak mematuhi undang-undang.

"Sepanjang 12 hingga 14 Mei, 2021 sebanyak 8,807 permohonan perjalanan rentas negeri dan daerah telah diterima. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 160 tidak diluluskan.  Sebanyak 41 kompaun telah dikeluarkan di atas kesalahan merentas negeri tanpa kebenaran. Sebanyak 185 buah kenderaan juga diperintahkan berpatah balik.

“Kami meminta masyarakat memberi bekerjasama untuk tidak keluar rumah jika tanpa urusan penting. Marilah bersama-sama memutuskan rangkaian COVID-19 sewaktu PKP ini," ujarnya.