KUALA KANGSAR -  Tragedi kebakaran rumah yang didiami dua beranak pada lewat petang 1 Syawal lalu terus mendapat perhatian netizen sehingga kini.

Rumah pusaka milik Halimah Bistamam, 66, terletak Kampung Sayong Tengah itu sekelip mata rentung dijilat api namun dia redha dan menerima kenyataan bahawa semuanya kini hanya tinggal kenangan.

Sejak kejadian itu tersebar melalui media massa,  ramai pihak mula tampil memberikan sumbangan dalam pelbagai bentuk mengikut keperluan.

Muhammad Azhar Taha Suhaimi, 23, selain masyarakat setempat, beberapa badan pertubuhan kerajaan (NGO) serta pihak Universiti Teknologi MARA (UiTM) turut prihatin akan nasib yang menimpa dia dan ibunya.
 
“Selepas berita  kejadian itu tersebar ramai yang datang termasuklah pihak UiTM menghulurkan bantuan berbentuk derma kilat seperti barang-barang keperluan dan sebagainya,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
 
Pelajar semester dua UiTM Puncak Alam dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Arkitek Landskap itu berkata, dia bersedia menerima sebarang bantuan dari mana-mana pihak yang sudi membantu meringankan beban mereka bagi mendapatkan kediaman baru untuk meneruskan kehidupan baru.
 
Kejadian yang berlaku pada 13 Mei lalu kira-kira jam 6.30 petang itu memusnahkan rumah kampung dua tingkat berusia lebih 60 tahun.
 
Pada kejadian itu, Muhammad Azhar melecur pada kanan tangan, bahu dan kanan kepala. Paling menyedihkan apabila komputer ribanya rosak, selain telefon pintarnya dan kesemua hasil tugasan projek tahun akhirnya hangus.
 
Sementara itu, Halimah berkata kini dia telah dapat menerima kenyataan di atas apa yang menimpanya.
 
Namun dia merasa bimbang memikirkan situasi mereka yang menumpang di rumah saudara buat seketika.

“Saya bimbangkan anak saya yang masih belajar. Pembelajarannya pasti terganggu kerana dia sedang berada pada pertengahan semester.

“Namun saya berterima kasih kepada semua yang telah memberi pertolongan dan sumbangan dalam apa juga bentuk,” ujarnya.
 
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan bolehlah menyalurkan bantuan menerusi akaun Maybank bernombor 158097930645, Bank Simpanan Nasional (0899541000356177), atau Bank Islam (08095020107615) atas nama Muhammad Azhar Taha Suhaimi.