IPOH - Econsave menyokong inisiatif kempen bendera putih sebagai salah satu ikhtiar untuk mendapatkan bantuan memandangkan ramai yang berdepan kesukaran hidup akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dilaksanakan di negara ini. 

Pengurus Besar Bahagian Utara 2 Econsave, Chua Yong Chiang berkata sejak kempen itu bermula semalam, sebanyak 20 rumah menerima sumbangan berbentuk barangan makanan asas di seluruh Perak. 
 
Menurutnya, terdapat 12 cawangan Pasaraya Econsave di seluruh Perak dan sejak kempen itu diuar-uarkan di platform media sosial ia mendapat perhatian masyarakat
 
Katanya, kebanyakan rumah yang mengibarkan bendera itu adalah di kawasan kampung. 
 
Chua berkata, selain menggantung bendera putih, ada rumah yang menggunakan alternatif lain seperti  tuala dan baju putih yang diikat pada kayu memandangkan mereka tidak mempunyai bendera. 
 
"Semalam kami sudah menyampaikan 20 sumbangan kepada rumah yang mengibarkan bendera putih selepas mendapat maklumat daripada orang awam dan tim daripada Econsave. 
 
"Kami telah menyampaikan barangan asas makanan seperti minyak, gula, tepung, biskut, bihun dan mi segera kepada mereka yang memerlukan dalam tempoh 24 jam selepas maklumat diterima.
 
"Setakat hari ini (jam 12 tengah hari), pihak kami telah menerima maklumat 20 rumah yang mengibarkan bendera putih dan memerlukan bantuan," katanya. 
 
Beliau ditemui ketika menyampaikan bantuan pek makanan, susu dan lampin pakai buang bernilai RM150 kepada sebuah keluarga di Rumah Pangsa Buntong Harmoni, di sini hari ini. 
 
Hadir sama, Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Zon 7 (Buntong), A Ganesan dan Pengurus Econsave Cawangan Jelapang, Shah Effendy Rosman. 
 
Bantuan tersebut turut mendapat kerjasama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) melalui program MBI Prihatin yang dilaksanakan pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit secara berterusan.
 
Kempen Econsave 'It's OK not to be Okay' itu bermula semalam di seluruh Malaysia bagi membantu mereka yang terjejas akibat pandemik Covid-19 dengan mengibarkan bendera putih di hadapan rumah masing-masing. 
 
Sementara itu, MBI dan Econsave telah banyak menjalinkan hubungan kerjasama dalam membantu warga kota yang memerlukan di sekitar bandaraya ini.
 
Antara program yang diadakan secara kerjasama antara MBI dan Econsave sepanjang tahun ini termasuklah program pemilihan baju raya dan majlis berbuka puasa bersama dua rumah anak yatim iaitu Pertubuhan Baitul Aini Anak-anak Yatim Ipoh dan Pertubuhan Anak Yatim Nurkasih Al-Harraz ; sumbangan Aidilfitri kepada Pertubuhan Anak Yatim Nurkasih Al-Harraz; pemberian sumbangan barangan makanan kepada 140 anggota MBI yang terkesan akibat wabak Covid-19 termasuk pemberian pek makanan kepada keluarga yang memerlukan di sekitar Ipoh.
 
MBI melalui MBI Prihatin akan meneruskan kerjasama dengan Econsave dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada penduduk di bandaraya ini yang terpinggir sepanjang tempoh PKP berlangsung.