Empat inisiatif MBI pulihkan ekonomi setempat
- Details
- Sheqal Danish
- Komuniti
- Hits: 723
IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) komited dengan inisiatif memulihkan ekonomi masyarakat setempat yang akan dibantu dan diberi rangsangan ke arah pemulihan dalam situasi pandemik Covid-19 ketika ini.
Bagi memacu hasrat tersebut, empat inisiatif digariskan dan telah pun dijalankan.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata, strategi pertama adalah mewujudkan peluang pekerjaan pada warga kota di mana sejak tahun lalu MBI telah menyediakan lebih 500 peluang pekerjaan.
Menurut beliau, inisiatif ini telah memberikan nafas baru kepada warga bandar raya Ipoh yang amat terkesan terutama bagi mereka yang kehilangan pekerjaan dalam tempoh pandemik Covid-19.
“Usaha ini akan diteruskan pada tahun 2022 yang mana MBI sedang mengkaji proses kerja sedia ada terutama dalam bidang perkhidmatan bandar untuk memberi ruang lebih banyak peluang pekerjaan ditawarkan,” katanya semasa Sesi Townhall Dialog Bajet 2022 yang diadakan secara maya hari ini.
Inisiatif kedua ialah memberikan galakkan kepada peniaga-peniaga kecil menerusi penyediaan platform dan ruang perniagaan dengan mewujudkan lebih 40 kios e-kasih.
“MBI juga mengeluarkan permit penjaja sementara bagi memberi ruang dan peluang kepada wargakota yang ingin berniaga di kawasan-kawasan rizab jalan yang sesuai.
“Setakat hari ini lebih 447 permit telah dikeluarkan dan tempohnya adalah sehingga hujung tahun ini. InsyaAllah, pengeluaran permit ini akan diteruskan untuk tahun 2022 sekiranya dilihat sesuai untuk diteruskan,” ujar Datuk Bandar.
MBI juga dalam perancangan untuk mengenalpati kawasan - kawasan yang bersesuian untuk dijadikan tapak - tapak perniagaan bagi membuka ruang lebih banyak untuk warga kota berniaga pada masa akan datang
Menurut Rumaizi, inisiatif ketiga ialah menerusi program MBI Prihatin iaitu memberian bantuan langsung kepada kelompok sasar di mana sumber kewangan utama bagi program ini adalah melalui wang yang disumbangkan oleh agensi luar dan pihak swasta.
“Inisiatif keempat, MBI turut memperbanyakkan projek-projek pembangunan kecil. Dengan agenda pembangunan yang telah dirancangkan, lebih banyak projek - projek berskala kecil akan dapat dilaksanakan yang mana akan memberi lebih ramai kontraktor peluang untuk mendapat kerja.
“Untuk makluman semua, MBI akan mengadakan sekali lagi Cabutan Kerja Undi yang dijadualkan pada bulan ini secara lintas langsung di Facebook MBI dengan hampir 100 kerja yang akan ditawarkan kelak,” jelasnya
Bagi Bajet 2022, MBI akan meneruskan agenda pembangunan yang telah dirancangkan dan memperbanyakkan lagi projek-projek kecil untuk ditawarkan kepada kontraktor-kontraktor.
Diharap usaha ini akan dapat merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negeri Perak bagi meringankan beban rakyat khususnya kontraktor G1 dan G2 yang terkesan secara langsung dengan pandemik Covid-19 yang sedang melanda seluruh dunia.